Panik tertembak rakan disangka kijang

Panik tertembak rakan disangka kijang
Mayat Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai akibat kesan tembakan dan ditinggalkan di lokasi kejadian. - Foto ihsan
IPOH: Tiga suspek yang ditahan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di hutan berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Khamis lalu panik selepas menyedari mereka tertembak rakan sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Rahman berkata, mangsa bersama tiga suspek telah pergi berburu di hutan berkenaan menggunakan senapang patah buatan sendiri.

"Ketika pemburuan tersebut, mereka telah berpecah dan salah seorang rakan yang menyangka melihat seekor kijang telah melepaskan tembakan.

"Setelah menyedari makhluk yang ditembak adalah rakan mereka sendiri dan bukan kijang, mereka jadi takut dan melarikan diri dengan harapan mayat mangsa akan reput dan tidak dapat dikesan.
"Ketiga-tiga suspek turut memusnahkan barang-barang peribadi mangsa seperti beg dompet, telefon bimbit manakala kad pengenalan mangsa yang dihancurkan dan dibuang ke dalam anak sungai di kawasan Bagan Pasir, Jalan Grik-Kupang," katanya kepada Astro AWANI.

Ketiga-tiga suspek masing-masing berusia, 26, 31 dan 39 tahun sekitar jam 9.30 pagi, pada Jumaat di Kupang, Kedah.

BACA: Tiga lelaki ditahan, jumpa mayat lelaki dengan kesan tembakan

Mayat Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai akibat kesan tembakan dan ditinggalkan di lokasi kejadian.

Mangsa yang dipercayai tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu ditemui orang awam kira-kira jam 4 petang, kelmarin.

Tambah Yahya, pihaknya turut menemui senapang laras patah dan 31 butir peluru hidup yang telah ditanam juga ditemui di belakang rumah salah seorang suspek.

Polis juga menahan seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun kerana menjual peluru hidup kepada salah seorang saspek beberapa kali sebelum kejadian ini.

"Ketiga-tiga suspek direman lima hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya lagi.