Isu peralihan kuasa yang sedang hangat diperbincangkan dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) dianggap sesuatu yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, menurut Pas, ia boleh dianggap mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong, kata Setiausaha Agung parti Datuk Takiyuddin Hassan.

"Berdasarkan Perkara 40(2) dan 43(2)(a), Agong boleh bertindak menurut budi bicara mutlak Baginda melantik Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Dalam hal melantik Perdana Menteri, Agong tidak memerlukan nasihat dari mana-mana pihak, apatah lagi desakan dan tekanan seumpama yang jelas kelihatan dilakukan oleh PH sekarang," katanya dalam satu kenyataan.

BACA: Pas teguh bawa usul undi percaya pada PM di Dewan Rakyat - Hadi Awang

Menurutnya, satu 'Perjanjian Peralihan Kuasa' yang dikatakan bertarikh 7 Jan 2018, sekiranya benar-benar wujud, adalah juga bercanggah dengan undang-undang dan tidak sah.




Perjanjian itu kononnya mengehadkan tempoh Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk kemudiannya digantikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.

Takiyuddin mendakwa ia menyalahi undang-undang kerana 'perjanjian' yang dikatakan wujud itu dibuat sebelum 9 Mei 2018, iaitu tarikh PH mendapat kuasa melalui pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Adalah amat ganjil 'Perjanjian Peralihan Kuasa' dibuat sebelum pihak-pihak yang dikatakan mengikat perjanjian tersebut mendapat dan mempunyai kuasa," tambahnya.



Beliau mengulangi pendirian Pas bahawa apabila Perdana Menteri yang sedang berkhidmat dipertikaikan kedudukannya, hanya Usul Undi Percaya dalam Dewan ataupun Akuan Bersumpah (statutory declaration) di luar Dewan boleh menentukan sama ada ketua kerajaan itu masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Usul Undi Percaya di dalam Dewan walaupun suatu perkara yang belum pernah berlaku (unprecedented), namun ia bukanlah tidak sah (illegal)," tegasnya.

BACA: Pas tak ikut 'pintu belakang' - Abdul Hadi