Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini, satu notis telah diserahkan kepada Affin Bank Sdn Bhd bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan SRC International Sdn Bhd, pada 6 Julai 2015.

Ini sekali gus menjadikan tiga serbuan dijalankan pada tarikh sama, iaitu melibatkan dua di AmBank cawangan Raja Chulan dan satu di Affin Bank Sdn Bhd.

Pegawai Analisis di Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM), Mohd Nizam Yahya berkata notis diserahkan kepada Affin Bank di bawah Seksyen 37(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Notis bertujuan bagi mendapatkan dokumen perbankan berkaitan akaun milik Ihsan Perdana Sdn Bhd, kata saksi pendakwaan ketiga itu.

Mohd Nizam berkata, beliau sedar bahawa dokumen yang akan diambil oleh Affin Bank adalah untuk kegunaan Special Task Force (Pasukan Petugas Khas) yang ditubuhkan pada 2015.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam bela bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Harvinderjit Singh, di sini, hari ini.

BACA: Kes SRC Najib: Transaksi RM40 juta dan RM5 juta dikesan - Pegawai BNM

Pasukan petugas khas ketika itu dianggotai Peguam Negara Tan Sri Abdul Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akthar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sementara itu, ketika soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim, Mohd Nizam, 39 tahun, berkata notis tersebut telah diserahkan kepada pegawai Affin Bank, Nirma Safira Khalid, di ibu pejabatnya di Jalan Raja Chulan, pada 6 Julai 2015.

Katanya, tiga maklumat akaun berkaitan Ihsan Perdana diserahkan kepadanya selepas notis diberikan kepada bank berkenaan.

BACA: Kes SRC Najib: Dokumen spesifik diserahkan oleh pengurus AmBank - Pegawai BNM

Antara dokumen tersebut, Nizam berkata, termasuk borang buka akaun, senarai penandatangan sah, borang due dilligence pelanggan untuk tiga akaun, borang spesimen tanda tangan dan kenyataan berkaitan dengan pembukaan akaun tersebut.

Setelah menerima kesemua dokumen tersebut, beliau membawa pulang ke pejabatnya dan disimpan di tempat yang selamat.

Jelas Mohd Nizam, pada tahun 2015, Special Task Force datang berjumpa dengannya bagi meneliti dan membuat salinan mengenai dokumen yang diserahkan oleh Affin Bank.

Bagaimanapun, salinan asal melibatkan beberapa dokumen yang diperolehi daripada Affin Bank telah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 Jun 2018.

BACA: Kes SRC: Buktikan yang Najib sedar wang itu dari sumber haram - Peguam Shafee Abdullah

Prosiding ditangguhkan dan bersambung semula pada Rabu.

Najib, 66 tahun, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Anggota Parlimen Pekan itu, yang juga Perdana Menteri keenam, dituduh melakukan kesalahan-kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.