Enam badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis menggesa supaya siasatan terperinci dijalankan terhadap pedofil warga British Richard Huckle yang mengaku salah atas pelbagai tuduhan mencabul kanak-kanak Malaysia.

NGO berkenaan ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia, Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia, Akhlak Rahsia Cekal, Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor serta kumpulan Kipidap.

Mewakili kesemua NGO itu, Presiden MJMM Datuk Abdul Rani Kulup Abdullah menyifatkan jenayah dilakukan Huckle sebagai melampau kerana ia boleh menyebabkan trauma, sekaligus merosakkan masa depan mangsa yang rata-rata berusia di bawah 12 tahun.

Beliau berkata kumpulan NGO itu juga meminta polis mengesan kesemua kanak-kanak yang menjadi mangsa Huckle, selain menyeru keluarga mangsa tampil membuat laporan polis.

"Apa yang kami faham, kami adalah kumpulan pertama yang membuat laporan polis terhadap Huckle, jadi kami mohon keluarga untuk berani tampil bagi bantu siasatan," katanya selepas membuat laporan polis bersama kesemua NGO itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Hukuman terhadap Huckle, 30, dijangka dijatuhi Isnin ini selepas prosiding mahkamah terhadap beliau bermula Rabu lepas di London.

BACA: Didik kanak-kanak tentang bahaya ancaman pedofil

Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya yang mengaitkan 23 kanak-kanak kebanyakannya daripada komuniti miskin di Kuala Lumpur. Dia mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan.

Media British melaporkan Huckle, seorang jurugambar bebas yang berada di Malaysia dari 2006 sehingga 2014, mungkin mencabuli sehingga 200 kanak-kanak berusia di antara enam bulan dan 12 tahun.