Peguam Negara Tommy Thomas akan menyiasat tindakan mahkamah membebaskan tertuduh dalam kes kematian pembantu rumah Indonesia, Adelina Lisao, kata Steven Sim.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata Tommy dalam reaksinya ketika dihubungi menjelaskan bahawa beliau akan menyiasat perkara ini untuk melihat apa langkah yang akan diambil.

“Keputusan mahkamah dalam kes Adelina adalah cukup tragis, setragis kematiannya.

“Saya telah menghubungi Ketua Hakim Negara (AG) bagi mendapat penjelasan.

"Susulan itu, AG telah menyatakan bahawa dia sendiri akan menyiasat kes itu untuk mengambil tindakan seterusnya,” kata Steven dalam satu kenyataan media semalam.


Adelina meninggal dunia akibat kecederaan pada beberapa bahagian badan dipercayai didera oleh majikannya.

Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan membebaskan tertuduh yang juga majikan mangsa, Ambika MA Shan daripada kesalahan membunuh Adelina.

Steven dalam pada itu berpandangan bahawa Malaysia memerlukan undang-undang baharu bagi menjaga kebajikan pekerja asing di negara ini dan menggesa agar hak asasi manusia dilindungi tanpa mengira kewarganegaraan.

“Eksploitasi pekerja asing bukan sahaja isu melanggar hak asasi manusia, tetapi juga masalah sosio-ekonomi.

"Jika dibiarkan, masalah ini boleh memberi impak negatif kepada pasaran pekerjaan tempatan,” kata Steven.

Terdahulu pada 19 April lalu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tenaganita meluahkan kekecewaan dengan keputusan mahkamah dan menuntut agar Ketua Hakim Negara mengambil tindakan sewajarnya.

“Kenapa mahkamah kita gagalkan dia? Kenapa kerajaan Malaysia gagalkan dia? Mana keadilan untuk Adelina?” tegas NGO itu.

BACA: 'Mana keadilan untuk Adelina?' - Tenaganita kecewa majikan dilepaskan

Pada 10 Februari 2018, Adelina, 21, diselamatkan daripada majikannya susulan gambar yang tular menunjukkan dia tidur di luar rumah bersama anjing peliharaan majikannya.

Namun sehari selepas diselamatkan, dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.