Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) menjangkakan tiga pekerja resort bersama bot yang dilaporkan hilang Rabu lalu masih berada di perairan Terengganu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, pihaknya juga tidak menemui sebarang petunjuk yang boleh mengaitkan bot terbabit karam.

Pihaknya percaya bot terbabit hanyut akibat mengalami kerosakan.

“Setakat Jumaat, kita masih lagi belum mendapat apa-apa petunjuk sama ada bot yang kita cari ini karam atau hanyut.

“Usaha mencari masih lagi dijalankan dan kita masih mencari petunjuk seperti barang-barang yang berada di atas bot.

“Malah maklumat-maklumat daripada orang awam sangat dialu-alukan sebagai usaha untuk mengesan mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya.

BACA: Tiga pekerja resort di Pulau Tenggol dikhuatiri hilang di laut

Beliau ditemui di pusat kawalan operasi mencari dan menyelamat bot hilang di Jeti Kampung Seberang Pintasan, Kuala Dungun, Dungun pada Jumaat petang.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat masih tertumpu di perairan meliputi kawasan radius pencarian 100 batu nautika.