Seramai 53 pelajar Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI) Gopeng, dekat sini mengalami keracunan makanan dipercayai selepas memakan hidangan telur hancur (scrambled eggs) di dewan makan asrama itu pada Jumaat lalu.

Pelajar terbabit dikatakan memakan telur hancur bersama roti yang dihidangkan untuk makan lewat malam (supper) pada jam 10.30 malam hari tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri Perak, A. Sivanesan berkata, kes pertama dilaporkan pada jam 2 pagi Sabtu manakala yang terakhir pada jam 3 pagi Ahad.

Menurut beliau, siasatan awal Jabatan Kesihatan Negeri Perak menunjukkan bilangan yang terdedah adalah seramai 395 orang tetapi hanya 35 pelajar lelaki dan 8 perempuan yang mengalami gejala seperti pening, loya, muntah, sakit perut, cirit birit, demam dan kekejangan otot.

"Gelaja keracunan (onset) terawal dikesan pada pukul 2 pagi hari Sabtu, manakala onset terakhir adalah 3 pagi, semalam (Ahad).

"Gejala utama adalah pening, loya, muntah, sakit perut, cirit birit, demam dan kekejangan otot," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Laksa 'pembunuh': Bakteria salmonella dikesan dalam mi laksa

BACA: 52 pelajar tahfiz alami keracunan makanan

BACA: Premis dapur asrama, kantin SMK Seri Bintang Utara ditutup sementara

Beliau memberitahu, premis yang disyaki adalah dapur asrama sekolah tersebut dan ia merupakan kejadian kedua tahun ini, yang melibatkan kontraktor dan pengendali dapur yang sama.

Menurut Sivanesan, dapur asrama sekolah itu telah disita pada Ahad di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan laporan polis telah dbuat mengenainya di Balai Polis Gopeng.

Selain itu, kata beliau, Jabatan Kesihatan Daerah Kinta telah mengambil lima sampel najis di kalangan pelajar terbabit dan beberapa bukti dari dapur berkenaan di samping terus memantau kesihatan pelajar.