Polis mengesahkan sebuah lagi kenderaan telah dilanggar oleh pemandu lori yang sama melanggar van di mana sembilan maut dalam nahas jalan raya di Jalan Air Kuning-Mambang Di Awan, dekat sini pada pagi Sabtu.

Dalam kejadian pada pagi Sabtu itu, pemandu lori ais itu telah ditahan oleh polis bagi siasatan lanjut setelah dibenarkan keluar dari hospital pada malam tadi (Ahad).

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata susulan itu pihak polis telah melawat semula tempat kejadian dan menjumpai sebuah plat kereta yang didaftarkan atas kenderaan lain.

“Pegawai penyiasat berjaya mengesan pemilik kenderaan dan pemandu lori, telah mengaku bahawa lori ais suspek telah melanggar kereta jenis Proton Iswara miliknya sebelum melanggar van yang membawa kesemua sembilan mangsa berkenaan.

“Pemandu Proton berusia 47 tahun itu memberitahu bahawa lori ais berkenaan telah melanggar bahagian belakang keretanya dan kemudian melanggar van tersebut.

“Pemandu kenderaan Iswara itu juga mengakui bahawa dia tidak membuat sebarang laporan polis berikutan cukai jalan dan insurans yang tamat tempoh,”katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, cerita sebenar hanya diperoleh setelah pegawai penyiasat tempat kejadian semula dan kenderaan Proton Iswara itu telah disimpan di rumah berikutan ketiadaan lesen dan cukai jalan.

Som Sak berkata, buat masa ini pemilik kenderaan Proton Iswara berasal dari Langkap itu telah dirakam percakapan dan dipercayai beliau dalam perjalanan ke pasar untuk menjual sayur sewaktu insiden berlaku.

“Keretanya kini ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah bagi tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Semalam (Ahad), pemandu lori ais berusia 22 tahun telah dibenarkan keluar dari Hospital Ipoh dan mengalami luka-luka dan jatihan di bahagian kepala sebelum dibawa ke Pejabat Trafik Tapah bagi siasatan kes.

“Suspek telah diambil darah untuk ujian kimia dan akan ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya lagi.