Pihak yang bergantung kepada industri pelancongan bakal menerima bayaran secara ‘one-off’ sebanyak RM600 daripada pihak kerajaan.

Ini kerana, kerajaan menyedari bahawa mereka yang berkerja atau berkhidmat di bawah sektor industri pelancongan antara yang paling terkesan berikutan penularan COVID-19 yang melanda seluruh dunia baru-baru ini.

Jelas Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memaklumkan perkara tersebut sewaktu pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, bayaran secara ‘one-off’ itu adalah khas kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran, pemandu pelancong serta penarik beca yang berdaftar.

Juga dimaklumkan pada Khamis, elaun khas tersebut akan diberikan kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus dalam memerangi COVID-19.

“Kerajaan akan memberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta kakitangan perubatan, dan RM200 kepada Imigresen dan kakitangan lain yang terlibat.

“Bantuan elaun khas ini berkuatkuasa Februari 2020 hingga wabak ini berakhir,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membelanjakan sebanyak RM150 juta bagi pembelian peralatan, ubat dan barangan guna pakai dalam usaha pengawalan wabak COVID-19.

Pada masa sama, kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan wabak COVID-19 dapat diuruskan dengan baik dan terkawal.

Tambahnya lagi, sebagai langkah untuk merangsang industri pelancongan pula, kerajaan akan menyediakan beberapa inisiatif.

“Pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik,

“Rakyat Malaysia diberi baucer digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, keretapi dan penginapan di hotel berlesen," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memaklumkan bahawa kerajaan juga akan menyediakan geran padanan untuk mempromosikan sektor pelancongan.

“Peruntukan sebanyak RM500 juta disediakan untuk langkah ini dan melonggarkan arahan untuk mengehadkan penggunaan hotel oleh agensi kerajaan,” kata Dr Mahathir.

Terdahulu, Dr Mahathir mengakui bahawa sesi temu bual bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri`ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapati tiada calon pilihan majoriti yang mampu diangkat sebagai Perdana Menteri.

BACA: Tun M tiada majoriti bentuk kerajaan, serah pada Dewan Rakyat

BACA: 'Jika semua orang pilih Muhyiddin, saya ok' - Tun Mahathir