Pengusaha dan penumpang bas ekspres di Terminal Bas Hentian Duta tertekan akibat arahan perpindahan lokasi berkenaan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), 12 Februari depan.

Arahan yang dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) itu dipercayai bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan ulat tiket di kawasan itu.

Tinjauan Astro AWANI mendapati terdapat beberapa kain rentang yang memohon orang ramai supaya menyatakan pendapat mengenai arahan perpindahan itu.

Pengarah Syarikat Cosmic Express, Abu Hassan Awang berkata, keputusan itu perlu dikaji semula terutamanya daripada sudut pengguna.

Ketika ditanya apa reaksi persatuan bas ekspres terhadap arahan SPAD, Abu Hassan sebagai salah seorang ahli berkata beliau difahamkan bahawa persatuan bas ekspres telah menghantar satu memorandum kepada pihak atasan.

Beiau turut masih belum dimaklumkan mengenai hasilnya serta berharap memorandum tersebut akan dijawab dan diperjelaskan secara terperinci.

Sementara itu, bagi penumpang bas ekspres pula lokasi sedia ada strategik dan memudahkan mereka yang ingin menuju ke utara.

Difahamkan kira-kira 1000 trip dari Hentian Duta menuju ke utara dengan purata 30,000 penumpang setiap hari.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu sistem pesanan ringkas kepada Astro AWANI berkata, SPAD akan mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung kesan pemindahan lokasi itu kepada pihak terlibat.

Jelas beliau, sebarang keputusan mengenai pemindahan itu akan hanya dibuat selepas perbincangan dengan semua pihak diadakan.