Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) masih belum menerima sebarang laporan atau maklumat mengenai pembantu rumah negara berkenaan yang didakwa dirogol oleh seorang Exco Kerajaan Negeri Perak.

Jurucakap KBRI berkata, sehingga kini pihak kedutaan masih menunggu perkembangan terbaharu.

"KBRI akan mengemas kini maklumat terbabit dari semasa ke semasa," kata jurucakap KBRI kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Media tempatan melaporkan seorang pembantu rumah dari negara jiran itu membuat laporan polis pada Isnin selepas mendakwa dicabul majikannya yang juga Exco Perak.

Wanita berusia 20-an itu mendakwa dicabul di sebuah kediaman di Meru, Perak sehari sebelum membuat laporan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi Astro AWANI.

Ketika ini polis sedang mengumpul maklumat berkaitan kes terbabit sebelum tindakan lanjut diambil.

Dalam perkembangan yang sama, parti DAP Perak memandang serius laporan yang menyebut penglibatan seorang anggota pemimpin parti itu dalam dakwaan berkenaan.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, tindakan yang sepatutnya akan diambil bergantung pada hasil siasatan pihak polis.

BACA: Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah, DAP serah kepada pihak berkuasa