Pembunuhan Nur Aisyah: 'Suspek seorang panas baran' - Ibu mangsa

Pembunuhan Nur Aisyah: 'Suspek seorang panas baran' - Ibu mangsa
Mayat Nur Aisyah, yang hilang ketika dalam jagaan pengasuh hujung bulan lalu telah ditemui di sebuah kawasan hutan di kawasan Gunung Raya, Langkawi pada 11.30 pagi Rabu dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua minggu lalu. - Gambar fail
LANGKAWI:
Ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3 , memaklumkan suspek lelaki yang ditahan selepas disyaki membunuh anaknya bersifat kaki pukul dan panas baran.

Rosmaliah Samo, 32, berkata dia pernah menyaksikan sendiri kejadian di mana anaknya dipukul, dilibas serta badan mangsa dicucuh dengan puntung rokok oleh suspek yang  merupakan teman lelakinya.

Ekoran sikap suspek yang panas baran, Rosmaliah mengakui yang dia tidak berani berbuat apa-apa kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk.

“Dia sepak, lepas itu ada kesan lebam dan dicucuh puntung rokok di badan (mangsa). Selain itu, kulit dia seperti melecur di bahagian badan dipercayai terkena air panas.

“Kalau saya banyak tanya nanti dia (suspek) akan pukul. Saya sudah dua tiga kali dipukulnya menggunakan tangan, topi keledar, tali pinggang serta paip getah,” katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Rosmaliah turut menambah, dia mula merasakan sesuatu tidak kena dengan suspek berkenaan apabila dia sering memberikan jawapan berbeza tentang keberadaan Nur Aisyah.


Jelasnya, dia enggan mempercayai, namun naluri seorang ibu berkata sebaliknya.

BACA: 'Hanya tinggal tengkorak dan cebisan rambut' - Polis

BACA: Mayat kanak-kanak hilang Nur Aisyah Aleya ditemui, dipercayai meninggal dunia dua minggu lalu

Kata Rosmaliah lagi, sejak kebelakangan ini dia kerap bermimpi mengenai Nur Aisyah dan terkejut apabila menerima berita mengenai kematian anak tunggalnya itu.

Mayat Nur Aisyah, yang hilang ketika dalam jagaan pengasuh hujung bulan lalu telah ditemui di sebuah kawasan hutan di kawasan Gunung Raya, Langkawi pada 11.30 pagi Rabu dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua minggu lalu.

Penemuan itu terbongkar selepas soal siasat dilakukan terhadap kedua-dua suspek yang menjaga kanak kanak terbabit sebaik sahaja ditahan di Ampang pada Selasa selepas dipercayai melarikan diri dari Pulau Langkawi.