Rakyat Malaysia disaran melakukan pemeriksaan perubatan secara berkala kerana ia mampu mengesan peringkat awal kanser, di samping sentiasa peka tentang petanda penyakit itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kebanyakan kes kanser lewat didiagnos, selalunya pada tahap tiga atau empat akibat kekurangan kesedaran, pemeriksaan kesihatan secara tidak berkala atau kekurangan saringan sewajarnya.

"Pengesanan awal dan tepat menjadi kunci kepada intervensi awal untuk semua jenis kanser bagi meningkatkan peluang merawatnya dengan berjaya," kata beliau pada majlis pelancaran semula Pusat Kanser di Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), di sini hari ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, kira-kira 100,000 rakyat Malaysia menghidap kanser setiap tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly berkata kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk manfaat 70,000 wanita dalam mendapatkan saringan mammogram, Vaksinasi Human Papillomavirus (HPV) dan ujian pap smear.

Sementara itu, Pusat Kanser PHKL meluaskan perkhidmatan radioterapi dan onkologinya bagi menyediakan penjagaan bersepadu sepenuhnya kepada pesakit kanser di suatu pusat tunggal. Penjagaan harian kemoterapinya kini mampu memberi rawatan kemoterapi hingga kepada 35 pesakit setiap hari dalam persekitaran lebih kondusif dan tempoh menunggu lebih singkat.

-- BERNAMA