“Tidak perlu ada pemilihan semula,” kata bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Hussein berhubung status Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti itu.

Beliau berkata sekiranya pemilihan parti diadakan semula ia pasti akan memburukkan keadaan dan meresahkan akar umbi.

“Kita serah pada pucuk pimpinan tentukan. Kalau dalam keadaan begini ahli majlis kena fikir sebaik mungkin.

“Kerana apa ditentukan Ahli Majlis Tertinggi akan diikut ahli parti. Kita hendak parti berjalan dengan lancar,” katanya kepada media di Lobi Parlimen di sini hari ini.

BACA: 'Saya akan cari Jho Low sampai ke lubang cacing' - Hishammuddin


Sebelum ini Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan kedudukan Ahmad Zahid.


Tengku Razaleigh berkata UMNO perlu mengadakan semula pemilihan jawatan Presiden parti itu jika Ahmad Zahid terpaksa melepaskan jawatannya.

Hishamuddin juga menyerahkan hal berkaitan pergantungan sementara Ahmad Zahid sebagai presiden kepada Anggota Majlis Tertinggi.

“Itu ikut MT saya bukan lagi dalam parti (MT). Itu terserah mereka.”

Jumaat lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.