Seorang pemilik bengkel kereta maut selepas motosikal ditungganginya terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Kampung Selarong Panjang, Jalan Kangkong di sini pada Ahad.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata mangsa Abidin Ahmad, 46, ditemukan sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang menjalankan usaha mencari dan menyelamat di sungai itu kira-kira 6.30 petang.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 5.26 petang.

"Sebaik tiba di lokasi, operasi dijalankan dan keadaan air juga kuat dengan kedalaman 1.5 meter, operasi pencarian dilakukan dan mangsa berjaya ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh terbabas dan telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

-- BERNAMA