Pemilik restoran nasi kandar popular Line Clear, Abdul Hamid SN Seeni Pakir akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi George Town, Khamis lalu yang memberi tempoh tiga minggu kepadanya untuk mengosongkan premisnya di Penang Road.

Abdul Hamid yang mewakili 12 keluarga asal SN Seeni Pakir dan SN Sekandar berkata, mereka sekeluarga juga akur keputusan mahkamah yang mengarahkan sistem penggiliran bagi mengendalikan restoran berkenaan dilaksanakan.

"Sehubungan itu, saya dan ahli keluarga bersetuju untuk mengadakan sistem giliran seperti yang diputusan mahkamah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beliau sekeluarga berterima kasih dan redha dengan keputusan mahkamah itu.

Dalam kenyataan itu, Abdul Hamid turut mengumumkan pembukaan cawangan pertama Restoran Line Clear di Kuala Lumpur yang akan mula beroperasi pada 30 Januari ini.

"Kami akan membuka cawangan pertama kami di 113 Jalan Raja Abdullah Kampung Baru, Kuala Lumpur. Cawangan ini adalah satu-satunya cawangan kami yang diiktiraf dan membawa resepi nasi kandar original dari Pulau Pinang," katanya lagi.VI

BACA: Nasi Kandar Line Clear diserbu

BACA: Penggemar nasi kandar luah rasa kecewa jika Line Clear ditutup

VIDEO: Pewaris Line Clear keliru dengan tindakan MPPP

Bersempena dengan pembukaan cawangan pertama itu, Abdul Hamid berkata, satu jamuan pembukaan akan diadakan pada 29 Januari 2016 bermula jam 2.30 petang sehingga 5.30 petang.

Pada 20 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Georgetown memutuskan menolak permohonan semakan kehakiman oleh Abdul Hamid yang juga pengendali semasanya bagi membatalkan keputusan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 2014.

Pesuruhjaya Kehakiman Collin Lawrence Sequerah berkata MPPP mempunyai budi bicara dan kuasa mengikut Akta Kerajaan Tempatan untuk memberikan lesen kepada peniaga itu berdasarkan sistem penggiliran.

Beliau dilapor memutuskan bahawa majlis bertindak secara wajar dan sah serta tidak bercanggah atau melanggar keadilan asasi.

"Keputusan majlis itu adalah mengikut undang-undang, rasional dan sah," Collin dipetik sebagai berkata.

Selepas keputusan dibacakan, peguam Abdul Hamid, M Kumar secara lisan memohon penangguhan perintah sementara menunggu rayuan interim, tetapi ditolak.

Isu perebutan giliran Restoran Nasi Kandar Line Clear bermula apabila MPPP memberi lesen kepada Sahubarali China Mohd Hanibah, Abdul Latiff Thulkarunai dan Pathumah Iskandar yang dikatakan tanpa pengetahuan anggota keluarga lain.