Saluran berita Astro AWANI membuat penafian secara tegas, bahawa berita berkenaan pelakon Iqram Dinzly, serta syarikat yang dikaitkan dengannya, Bitcoin Future, tidak pernah disiarkan di mana-mana rancangan di stesen ini.

Penafian dibuat selepas munculnya sebuah laman berita atas talian (blografias.com/product/sempadan) yang mendakwa kononnya Iqram Dinzly pernah ditemuramah pengacara Astro AWANI, Ibrahim Sani, berkenaan dengan saham syarikat tersebut.

Artikel bertajuk 'Iqram Dinzly mendedahkan bagaimana dia menjana RM8.6 juta selepas kemuflisan - dia mendakwa sesiapa sahaja boleh melakukannya dan menunjukkan 'Awani Review' bagaimana untuk melakukannya' itu disiarkan pemilik blog berkenaan pada 24 Julai (Rabu).

BACA: [PENAFIAN] Shaheizy Sam, Bitcoin Future tidak pernah muncul di Astro AWANI

Sebelum ini, Astro AWANI pernah melaporkan hal serupa kepada pihak berkuasa dan sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama baik syarikat ini.

Satu artikel bertajuk 'Shaheizy Sam mendedahkan bagaimana dia menjana RM8.6 juta selepas kemuflisan - dia mendakwa sesiapa sahaja boleh melakukannya dan menunjukkan 'Awani Review' bagaimana untuk melakukannya' sebelum ini turut mendapat perhatian pihak kami selepas pelakon berkenaan didakwa ditemu bual oleh Ibrahim.