Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Selasa kerana mencabul seorang remaja perempuan di Seberang Perak, bulan lalu.

Tertuduh Ridzuan Mohamad, 33 tahun yang sebelum ini ditahan kerana disyaki melakukan pencabulan bersiri membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut kertas pertuduhan, Ridzuan didakwa meraba punggung mangsa berusia 16 tahun di Jalan Felcra Changkat Lada-Ulu Dedap, Sebarang Perak pada 20 julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan serta dikenakan perintah pengawasan polis maksimum tiga tahun.

Hakim Indra Nehru menetapkan 28 ogos ini sebagai tarikh jatuh hukum dan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh juga akan dibawa ke Mahkamah Majistret Parit hari ini untuk didakwa atas beberapa lagi tuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh telah ditahan di rumahnya di Kampung Gajah selepas dipercayai mencabul kehormatan beberapa wanita berusia antara 18 hingga 42 tahun.