Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad enggan mengulas mengenai nasib yang dialami Sungai Kilim, yang dipercayai menjadi mangsa pencemaran akibat kegagalan pengurusan sisa pepejal di pulau pelancongan itu.

Menurut beliau kepada Astro AWANI ketika diminta mengulas isu tersebut, apa yang sedang berlaku seharusnya diserahkan kepada kerajaan persekutuan untuk diselesaikan.

Pulau Langkawi merupakan sebuah destinasi pelancongan bertaraf dunia yang diiktiraf sebagai sebuah 'Geoforest Park' oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak tahun 2007.

Namun, pengiktirafan itu seolah-olah tidak seperti yang digambarkan kerana tinjauan Astro AWANI mendapati ia kini "busuk, kotor, dan tercemar."

Menurut pemerhatian penulis, loji insinerator bernilai hampir RM70 juta di pulau itu tidak berfungsi sejak sekian lama selain sampah dari seluruh pulau terpaksa dilonggokkan di tanah lapang bersebelahan insinerator tersebut.


Wujud kesilapan kontraktor

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kerja Raya, Pelancongan dan Warisan Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid yang dihubungi mengakui, wujud kesilapan kontraktor yang menjadi punca air licit dari loji insinerator masuk ke sungai tersebut.

Katanya, kontraktor berkenan berjanji untuk menyelesaikan masalah itu dalam tempoh 20 bulan.

Menurutnya, kontraktor berkenaan juga diarah untuk membersihkan semua kotoran yang sudah memasuki Sungai Kilim.

"Dalam perjumpaan tersebut saya dapati sedikit maklumat, bahawa pencemaran itu adalah hasil kerja-kerja kontrak yang dilakukan.

"Kesilapan tersebut oleh kontraktor yag dilantik pada bulan Mac lalu, iaitu membuat penambahbaikan. Dan hasil dari situ, terdapat kesilapan teknikal sedikit, dan lubang tersebut sudah tertutup.

"Pihak kontraktor sudah berjanji akan buat kerja dengan lebih teliti dan memastikan (akan) membuat analisa air, sama ada terdapat pencemaran atau tidak.

"Pihak konsultan berjanji pihak kontraktor akan membuat kerja dengan teliti," katanya kepada Astro AWANI.

Mohd Rawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat berkata, pihaknya telah memberi amaran kepada kontraktor dan konsultan terlibat mengenai perkara itu.

“Keseluruhan dari perbincangan tersebut, kita bagi amaran kepada kontraktor dan konsultan bahawa kerja-kerja ini bukan boleh buat sebarangan.

“Kerana, kerosakan tersebut adalah amat sensitif. Sebarang kesilapan akan menghasilkan pencemaran yang cukup tinggi.

“Ia boleh membunuh ikan-ikan dan merosakkan alam sekitar,” katanya sambil meyakinkan masalah itu akan selesai pada masa akan datang.