Polis mengesahkan keluarga dua rakyat Malaysia yang diculik dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada 14 Mei lalu setakat ini menerima tiga panggilan telefon daripada kumpulan penculik berkenaan yang antara lain meminta wang tebusan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata selain meminta wang tebusan, kumpulan terbabit turut meminta wang untuk membiayai kos makan minum mangsa culik serta wang bagi menampung kos perubatan seorang daripada mangsa culik wanita, Thien Nyuk Fun, 50, yang menghidap kencing manis.

"Perkara ini disahkan keluarga mangsa. Kedua-dua mangsa selamat dan berada dalam tahanan kumpulan penculik yang berpindah randah dari satu pulau ke satu pulau di selatan Filipina bagi mengelak dikesan pasukan keselamatan negara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Latihan Asas Polis Bantuan Siri 1/2015 di sini, hari ini.

Dalam insiden penculikan 7.45 malam 14 Mei itu, selain Nyuk Fun iaitu kakak ipar kepada pengurus Restoran Ocean King, turut diculik sekumpulan empat lelaki bersenjata api itu ialah seorang pelanggan restoran, Bernard Then Ted Fen, 39.

BACA: Mangsa culik di Sandakan giat dikesan

BACA: Penculik di Sandakan hubungi keluarga mangsa minta wang tebusan

Mengulas laporan media Filipina mengenai kematian seorang daripada anggota kumpulan penjenayah yang mendalangi kes penculikan di Sandakan itu, Jalaluddin mengesahkan Mindas Muktadil terbunuh ketika berbalas tembak dengan pasukan keselamatan Filipina di kepulauan Jolo dan kerajaan Filipina turut mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu melalui media sosial termasuk Facebook.

Sementara itu, Jalaluddin percaya seorang lelaki berumur 43 tahun, berasal dari Shah Alam, Selangor dan dikenali sebagai 'Mat Malaya' yang dikehendaki polis kerana menembak dan mencederakan kaki seorang pembantu mekanik sebuah bengkel pendingin hawa di Kota Kinabalu baru-baru ini, kini berada di Tawau.

"Kita percaya dia berada di Tawau berdasarkan kelibat muka dan kereta yang digunakan lelaki itu. Kita hampir menahannya namun dia berjaya melarikan diri.

Jika dia bukan penjenayah kenapa perlu melarikan diri. Selagi dia belum ditangkap, kita tidak boleh sahkan sama ada lelaki yang berada di Tawau itu adalah 'Mat Malaya'," katanya.