Gangguan bekalan air di empat daerah di Selangor menimbulkan kemarahan penduduk yang menyifatkan kerajaan negeri bersikap sambil lewa dalam menyelesaikan krisis itu.

Menurut penduduk Semenyih, Chong Po Wa, kerajaan Selangor langsung tidak membantu rakyat dalam menangani krisis gangguan bekalan air di negeri itu.

"Saya sedih dengan kerajaan Selangor dengan apa yang berlaku ini. Saya tak tahu apa masalahnya sehingga mereka tak boleh bagitahu penduduk mengenai gangguan bekalan air ini.

"Sudah empat ke lima hari, rumah saya tak ada air, tempat-tempat perniagaan semua tak ada air, nak pergi bilik air, nak mandi pun sudah tak ada air.

Krisis air

BACA: Noh Omar mahu bawa isu air Selangor ke Parlimen

"Lori air pun saya tidak nampak memberi bantuan kepada penduduk. Sebab itulah saya berada disini untuk berkongsi pengalaman saya.

"Kerajaan Selangor tolonglah jangan menyusahkan rakyat kami nak hidup pun susah," katanya.

Manakala salah seorang penduduk Semenyih, Romli Mat Nor berkata, pihak berkuasa yang lambat bertindak menyebabkan ramai yang tidak dapat bersedia dengan cukup bagi menghadapi gangguan bekalan air tersebut.

Tambahnya, penyampaian maklumat juga tidak dilakukan dengan baik, sehingga penduduk terpaksa bergantung kepada media sosial dan khabar angin untuk mendapat maklumat.

Semenyih

"Saya rasa sangat letih sepanjang empat hari ini. Bayangkanlah orang tua macam saya ni tak ada air macam mana nak angkat baldi ke sana sini.

"Pihak Syabas atau Jabatan Bomba Dan Penyelamat tak nak membantu hantarkan air sehingga ke rumah kami, terutamanya yang tua dan tidak mampu.

"Saya harap tak jadi lagi la. Selalunya air tak ada kebelakangan ini tapi hari ni air bukan sahaja tak ada tapi sungai kita tercemar. Jadi kita minta pihak-pihak yang bertanggungjawab pergilah cari orang yang bertanggungjawab dan buat tindakan yang betul-betul tegas," jelasnya.

Penduduk Taman Desa Kenanga, yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Husni pula berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab boleh meringkanan beban penduduk dengan memberi bekalan air cukup terutama kepada golongan tua dan daif.

Haji Husni

Tambahnya kerajaan negeri harus menambah penguatkuasaan bagi memberkas individu-individu yang bertanggungjawab mencemar Sungai Semenyih.

"Pak cik difahamkan kejadian ini disebabkan oleh pencemaran sungai tak tahu kilang mana lah yang bertanggungjawab tapi ura-ura ada mengatakan yang dekat dengan sungai.

"Pak cik harap kerajaan dapat mengadili kilang yang telah membuat susah kepada rakyat, dalam lebih kurang 300,000 orang yang menanggung kesan dari tindakan mereka ini.

"Susah nak urus hidup, sekolah, orang tua, anak-anak yatim dan kebajikan sejak kejadian ini semua berlaku. Semalam saya ada ikut pihak bomba mengagihkan bantuan air kepada rumah-rumah kebajikan dan orang-orang tua.

"Mereka sangat terkesan akibat dari perkara ini dan saya berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk krisis ini akan didakwa dan dibawa ke muka pengadilan," katanya.