Penganggur didakwa bunuh ibu kandung yang lumpuh

Penganggur didakwa bunuh ibu kandung yang lumpuh
Tertuduh, Mohd Ridzuan Mustafa, 37 tahun, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibaca Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi di hadapan Majistret Noordiana Abdul Aziz. - Foto Bernama
KUANTAN: Seorang lelaki hari ini, dituduh membunuh ibunya sendiri di Mahkamah Majistret Kuantan dalam kejadian di Taman Kampung Padang Jalan Sungai Lembing Kuantan pada Selasa lalu.


Tertuduh, Mohd Ridzuan Mustafa, 37, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibaca Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi di hadapan Majistret Noordiana Abdul Aziz.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh ibunya, Sefiah Hamid, 62, di rumah mereka di Taman Kampung Padang, Jalan Sungai Lembing Kuantan antara jam 8.40 hingga 10.30 pagi pada tarikh berkenaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berhadapan hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

BACA: Ibu maut ditikam anak sendiri

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk keputusan laporan mental.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam diperintahkan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Tampoi hari ini.



Media pada Selasa lepas, melaporkan seorang lelaki yang dipercayai menghidap masalah mental telah menikam leher ibunya sehingga maut, sebelum membawa jenazah wanita itu yang diletakkan di atas kerusi roda keluar dari rumah.

Suspek dikatakan menolak kerusi roda itu sejauh 50 meter sebelum kejadian itu disedari sekumpulan penduduk yang sedang bersarapan di kedai kopi.


Tag: Mahkamah Majistret Kuantan, Mohd Ridzuan Mustafa, Sefiah Hamid, Mahkamah Majistret, jenazah, Hospital, bunuh ibu lumpuh, Kuantan, tikam ibu



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.