Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melahirkan rasa sedih berhubung tragedi rempuhan go-kart yang meragut nyawa dua beranak ketika berlangsungnya Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang awal hari ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Wahid Omar berkata selaku penganjur, mereka mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, dan menyerahkan siasatan kepada polis.

Katanya, sejak awal pertandingan, segala aspek teknikal, keselamatan, pemilihan gelanggang dan usaha mendapatkan kelulusan dari Motorsports Association of Malaysia (MAM) - badan yang menguruskan sukan permotoran di Malaysia, dikendalikan UTM.

Malah, menurut beliau, mereka juga telah mengambil langkah keselamatan perlu termasuk meletakkan penghadang air (water barrier), pita keselamatan dan anggota keselamatan di litar perlumbaan bagi mengelakkan kemalangan melibatkan penonton.

"Ini selaras dengan saranan MAM dan perlumbaan di litar terbuka di Indera Mahkota (Pahang) itu telah diperakukan selamat untuk perlumbaan disertai 51 buah pasukan dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta," kata beliau dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dalam insiden kira-kira pukul 11 pagi itu, dua penonton terbunuh manakala dua lagi dilaporkan kritikal setelah dirempuh dua kenderaan go kart yang hilang kawalan.

Ekoran kemalangan itu, kesemua acara perlumbaan termasuk penyampaian hadiah dan upacara perasmian penutup oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dijadualkan pukul 3 petang tadi telah dibatalkan.