Penggantian bas sekolah yang sudah berusia kepada bas baharu dilihat akan mengambil masa kerana pengusaha bas sekolah kebanyakannya bukan terdiri daripada golongan mampu yang mudah untuk menukar bas mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata oleh itu kerajaan memberi kelonggaran untuk bas sekolah diganti selepas 25 tahun bagi meringankan beban kewangan pengusahanya.

"Pengusahanya ada yang terdiri daripada ibu tunggal dan individu yang mencari makan sahaja. Atas sebab itu kerajaan memudahkan permohonan mereka untuk mendapatkan lesen bas sekolah," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan 27 buah bas oleh Pengarah Urusan MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MTBM), Hartmut Mueller di sini hari ini.

Bas model A80 itu adalah untuk kegunaan MARA Liner Sdn Bhd (MLSB) yang diberi kontrak mengendalikan perkhidmatan myBAS di Perlis.

Dalam ucapannya, Syed Hamid berkata kerajaan membelanjakan RM180 juta untuk menyediakan perkhidmatan myBAS di lima buah negeri sejak dilancarkan pada tahun 2015 walaupun pulangan yang diterima balik cuma 30 peratus.

"Tujuan myBAS ialah memberi kemudahan kepada rakyat di samping menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar selain memenuhi tanggungjawab sosial ekonomi untuk masyarakat," katanya.

Beliau berkata 30 buah bas yang beroperasi di Perlis adalah meliputi jarak 373 kilometer melalui jalan-jalan utama dengan kekerapan sehingga 30 minit yang ia dijangka akan meningkatkan jumlah penumpang sehingga 30,000 orang sebulan pada tahun ini.

"Kita berharap bas-bas baharu ini yang juga mesra orang kelainan upaya (OKU) dan dilengkapi tali pinggang keselamatan dapat menarik orang ramai untuk lebih kerap menggunakan perkhidmatan awam khususnya myBAS," tambahnya.

Pada majlis sama Ketua Pegawai Operasi MLSB, Zahrail Affenday Mohamed dan Penolong Timbalan Presiden (Komersial) MLSB, Saiful Adli Jamal, Mueller serta Pengurus Besar Selepas Jualan MTBM, Thayalan Subramaniam menandatangani kerjasama strategik, Kontrak Baik Pulih dan Penyelenggaraan (RMC).

Di bawah kontrak selama lima tahun itu yang tamat pada 2021, MTBM menyediakan kepakaran baik pulih kenderaan jenama MAN di empat cawangan MLSB iaitu Kuantan, Alor Setar, Kota Bahru dan Perlis serta pemindahan teknologi.

-- BERNAMA