NATIONAL
Penggantungan Mara: Saya akur dan akan bekerjasama dalam siasatan - Annuar Musa

ANNUAR: "Tidak ada sesiapapun yang boleh mengatasi peraturan, bagi saya segala kerja mesti mengikut peraturan-peraturan yang ada." - Gambar fail
Tan Sri Annuar Musa berkata beliau akur dengan keputusan penggantungannya sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) yang berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Annuar yang kini berada di New Zealand, berkata beliau tidak tahu menahu berkenaan mesyuarat khas Ahli Majlis MARA yang diadakan hari ini itu.
"Saya tidak tahu mereka akan mengadakan mesyuarat dan saya belum pernah dipanggil dan ditanya tentang apa-apa isu secara rasmi (sebelum ini)," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
MESTI BACA: Mara gantung tugas Annuar Musa
Katanya beliau hanya dimaklumkan keputusan itu oleh Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad dan Dr Yusof selepas mesyuarat selesai.
Annuar berada di New Zealand bagi urusan rasmi MARA antaranya menghadiri Mesyuarat Bersama Kolej Yayasan Saad dan Queenstown Recreational College (OTAGO University) dan dijangka pulang ke tanah air pada Khamis.
Sepanjang penggantungan itu Annuar tidak boleh mengakses informasi dan sebarang arahan yang melibatkan tugas sebagai pengerusi manakala semua tugasnya akan dipangku Yusof selepas mendapat persetujuan Menteri Kemajuan Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Annuar turut menegaskan beliau pernah meminta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Ibrahim untuk mengadakan audit dalaman selepas timbul pelbagai khabar angin mengenai isu itu.
"Tuduhan dan kenyataan yang keluar itu macam-macam, jadi saya beritahu menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan ketua pengarah (MARA) supaya dibuat audit dalaman atas perkara-perkara yang berkaitan.
"Tidak ada sesiapapun yang boleh mengatasi peraturan, bagi saya segala kerja mesti mengikut peraturan-peraturan yang ada, dan kalau ada tuduhan-tuduhan pihak berkenaan kena siasatlah," katanya. -- Bernama
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami