Ada peniaga di Ampang Park yang mengalami tekanan emosi selepas mengetahui kompleks itu akan diruntuhkan dan dijadikan tapak pembangunan stesen serta laluan Transit Aliran Massa (MRT).

Timbalan Presiden Persatuan Peniaga Satu Malaysia Ampang Park, Wan Kamal Izzuddin Wan Kassim berkata, mereka kini buntu apabila kehilangan pelanggan selain memikirkan kerugian yang akan ditanggung kelak.

"Ada pekerja yang sudah berpuluh tahun mencari rezeki di sini, mereka akan hilang punca pendapatan dan keadaan akan menjadi lebih menyakitkan dengan situasi ekonomi kini.

"Kami kecewa pembangunan yang dibuat ini dijalankan tanpa memberitahu kepada 253 pemilik serta penyewa di sini. Apa yang berlaku adalah di kegagalan pengurusan Ampang Park sebagaimana yang terkandung dalam Hak Milik Strata 1985," katanya semasa sidang media Selamatkan Ampang Park di sini hari ini.

Jelasnya, butiran perjanjian di antara 'pihak Ampang Point' dengan MRT Corporation termasuk nilai pampasan yang bakal diberikan juga tidak berada dalam pengetahuan mereka.

Tegas Wan Kamal Izzuddin, mereka juga tidak menolak perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang membuat persetujuan tanpa mendapat suara daripada para peniaga dan pemilik premis sebagai satu cubaan untuk mengaut keuntungan berganda, memandangkan lokasi strategik Ampang Park.

Difahamkan, hanya 14,000 kaki persegi daripada keseluruhan 340,000 kaki persegi sahaja terlibat dalam pembinaan stesen itu yang termasuk dalam rancangan jajaran kedua Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).

Bagaimanapun, motif pengambilan keseluruhan tapak Ampang Park menjadi persoalan besar.

Dalam pada itu, Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya akan mendapatkan 10,000 tandatangan untuk membuktikan bantahan terhadap projek MRT Line 2 berkenaan.

Tegasnya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor perlu menggunakan kuasa yang ada untuk memastikan projek itu tidak dijalankan.

"Kenapa mahu diruntuhkan Ampang Park jika memikirkan keuntungan sebuah syarikat pembinaan yang akan membuat hotel atau kondominium mewah sebagai gantik di tapak ini?

"Apa relevannya membunuh lebih 300 peniaga termasuk majoritinya bumiputera yang sekian lama mencari rezeki di sini?" tegasnya.

Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang ramai pada 15 Mac 1973, menjadikannya kompleks beli belah pertama di Malaysia dengan keseluruhan 250 lot premis yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan dan kehendak selain perkhidmatan untuk warga kota.

Ia dibangunkan oleh syarikat Low Keng Huat Brothers Realty Sdn Bhd berikutan kejayaan projek pertamanya di Singapura, People's Park yang dibuka pada 1968.