Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dinasihat tidak mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan selain perlu menghormati undang-undang negara.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, semua invididu tertakluk kepada undang-undang sekali gus menjadi prinsip yang harus dihormati setiap masa.

"Tolong jangan terlalu angkuh kerana semua warganegara tertakluk di bawah undang-undang.

"Tiada sesiapa yang boleh dikecualikan dari hukum undang-undang sekiranya mereka melanggar atau tidak menghormati undang-undang.

"Sebenarnya TMJ tidak menghormati undang-undang serta tidak memahami Perlembagaan berteraskan Raja Berperlembagaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

BACA: Majlis Raja-Raja perlu tegur TMJ - Khairuddin

BACA:
Tindakan TMJ buat rakyat hilang hormat kepada institusi diraja - Khairuddin

BACA: PM ingatkan Malaysia amal sistem Raja Berperlembagaan bukannya raja berkuasa mutlak

Khairuddin mengulas kenyataan Tunku Ismail yang mahu Majlis Raja-Raja menasihati menteri dan Peguam Negara kerana membelakangkan Raja-Raja dalam isu Statut Rom.


Tunku Ismail juga tidak mahu pihak tertentu menggunakannya untuk mengalih perhatian kerana janji kerajaan yang tidak tertunai kepada rakyat.


Dalam pada itu, Khairuddin memberitahu, Tunku Ismail cuba mengalih perhatian dengan membuat kenyataan begitu.

"Kita pun tidak tahu apa yang TMJ cuba hendak buktikan. Di zaman kerajaan dahulu semasa negara bermasalah seperti hari ini; di mana TMJ pada waktu itu?

"Kenapa tidak mahu menegur segala salah laku kerajaan pada ketika itu yang merosakkan sistem politik mahupun ekonomi negara dengan begitu teruk sekali?

"Siapa TMJ jika hendak dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad?" soalnya.

Sebelum ini, Khairuddin meminta Majlis Raja-Raja menegur Tunku Ismail kerana tidak memahami Perlembagaan negara yang berteraskan sistem Raja Berpelembagaan.

Tegasnya, kenyataan Tunku Ismail akhir-akhir ini sudah benar-benar berbaur politik.