Operasi perkhidmatan LRT laluan Ampang yang membangkitkan kemarahan sesetengah penumpang sejak beberapa hari lalu susulan langkah penukaran tren di Stesen Chan Sow Lin kini dilaporkan beransur baik.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, tren laluan itu sudah berada di di stesen berkenaan seawal jam 5.30 pagi lagi bagi memastikan penumpang dapat menaiki kenderaan awam itu mengikut jadual yang ditetapkan.

Pada masa sama, tinjauan mendapati kebanyakan tren laluan Ampang-Chan Sow Lin, Chan Sow Lin-Sentul Timur tiba tepat pada masanya walaupun berlaku sedikit gangguan teknikal pada waktu puncak sekitar jam 8 pagi.

BACA: Laluan LRT Ampang bertukar, penumpang mengamuk akibat sesak

BACA: Rapid KL mohon maaf kelewatan jadual perjalanan tren LRT

Kesesakan berlaku semasa kebanyakan penumpang dari Ampang tiba di stesen berkenaan, namun ia masih terkawal dan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Pada masa sama, pihak keselamatan sentiasa ditempatkan di lokasi keluar masuk pintu LRT bagi memastikan penumpang dapat sampai ke destinasi yang dituju.

Salah seorang penumpang, Khalifah Shahdan yang ditemui memberitahu, keadaan stesen berkenaan yang masuk hari ke-empat disifatkan lebih baik dan tidak sesak seperti mula-mula ia dilaksanakan.

"Hari ini Alhamdulillah, tidak seteruk dua tiga hari lepas, mungkin kerana tren cepat hari ini. Macam sebelum ini, kawan-kawan saya sampai tidak sempat naik bas sebab kelewatan tren," jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut kesulitan pada hari pertama dan kedua langkah penukaran tren laluan Ampang di Stesen Chan Sow Lin, jelasnya, beliau melihat sendiri kekecohan yang berlaku susulan kebanyakan penumpang terpaksa bersesak-sesak untuk memastikan mereka dapat memasuki tren.

"Pada hari pertama sangat-sangat mendukacitakan tetapi kalau untuk hari ini ok sikit," ujarnya.

Justeru, beliau berharap pihak RapidKL dan Prasarana mengekalkan semula pendekatan sebelum ini iaitu laluan secara terus ke Sentul Timur tanpa perlu menukar trend di Stesen Chan Sow Lin.

"Tambang tren pun dah naik, jadi saya harap biarlah perkhidmatan yang diberikan berbaloi untuk pengguna," katanya lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi penumpang, Razali Mokhtar menyifatkan langkah penukaran tren berkenaan banyak membazirkan masa penumpang.

"Keadaan sebelum ini sama sahaja dengan hari ini. Saya rasa elok buat macam dulu, sebab saya rasa leceh. Kalau sesak macam ni, baik saya memandu kereta sebab buang masa saya, kita kejar masa," jelas beliau.

Bermula Ahad lalu, penumpang RapidKL Laluan Ampang perlu menukar tren di Stesen Chan Sow Lin untuk meneruskan perjalanan sama ada menghala ke Sentul Timur atau Putra Heights.

Susulan itu, kebanyakan penumpang merungut di media sosial berkenaan kesesakan melampau di beberapa stesen seperti Chan Sow Lin.

Kesesakan tersebut didakwa berpunca daripada kekerapan tren yang rendah berikutan penggunaan tren model baharu di laluan Putra Heights dan model lama di laluan Ampang.