Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengesahkan tiada sebarang kes demam kepialu atau tifoid dilaporkan di negeri itu sehingga hari ini.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon bagaimanapun berkata, JKN tetap memandang serius perkembangan kes berkenaan dan sedia mengambil langkah awal.

''Kita akan mulakan pemeriksaan mengejut bermula petang Selasa di semua kawasan tumpuan dengan fokus utama kepada restoran dan gerai makan yang menggaji pekerja asing,'' katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Namun, katanya, pekerja tempatan di kawasan tumpuan juga tidak akan terkecuali dalam pemeriksaan yang akan dijalankan itu.

Tambahnya, langkah berkenaan diambil memandangkan penularan demam kepialu di Kuala Lumpur dikatakan bermula daripada pekerja asing warga Bangladesh.

''Walaupun pengendali makanan telah diberi suntukan vaksin, apa yang lebih penting ialah mereka perlu memastikan kebersihan diri sebelum mengendalikan makanan,'' ujarnya.

JKN katanya, akan memastikan suntikan vaksin diberikan kepada pengendali makanan kerana ia mampu mencegah 50 hingga 80 peratus penularan bakteria salmonella typhi yang menjadi punca kepada demam kepialu.