Kerajaan negeri Perak memohon agar operasi Loji Rawatan Air (LRA) Air Ganda dibuka semula bagi mengatasi masalah yang dihadapi kira-kira 1,500 penduduk.

Bagaimanapun, pembukaan semula operasi loji itu bukan untuk kegunaan makan dan minum.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar.

BACA: JMG, SPAN kaji punca pencemaran Sungai Rui, Gerik

Katanya, ia dalam pertimbangan kementerian tersebut dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Bagi pihak kerajaan negeri, apabila arahan telah diberikan oleh SPAN, kita terpaksa akur kepada arahan tersebut terlebih dahulu dan kita akan sedaya upaya memberi bekalan air yang bersih kepada kampung tersebut.

"Tetapi, dalam masa yang sama kita berpandangan bahawa air yang ada di loji Kampung Air Ganda itu masih boleh digunakan untuk kegunaan lain, seperti membasuh dan sebagainya," katanya.

TONTON: Bekalan air terjejas di Kampung Air Ganda

Beliau bercakap pada sidang media bersempena Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019, yang turut dihadiri Komander VAT69, SAC Abdul Razak Mohd Yusoff di Pengkalan Latihan Gerakan Udara Ipoh di sini hari ini.

Pada Isnin, Astro AWANI menyiarkan keluhan penduduk Kampung Air Ganda, Temengor di Hulu Perak yang terjejas selepas loji rawatan air di kampung mereka ditutup 9 April lalu.



BACA: Penduduk kampung resah Sungai Rui dicemari arsenik

Mereka merayu supaya loji itu dibuka semula, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan tidak lama lagi, diikuti Hari Raya Aidilfitri.

Pada 9 April lalu, Lembaga Air Perak (LAP) memberhentikan operasi LRA Air Ganda serta merta selepas diarahkan oleh SPAN susulan penemuan sisa arsenik, sejenis logam berat dalam sampel air Sungai Rui.

BACA: Sungai Rui Hulu Perak mengandungi arsenik penyebab kanser kulit