ESOK, tumpuan warga media sudah pastinya ke arah perbicaraan kes berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang akan dijalankan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Untuk rekod, beliau akan menghadapi tujuh dakwaan berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Tiga daripada tujuh pertuduhan itu pertama kali didengarkan di Mahkamah Sesyen pada 4 Julai, tahun lepas, melibatkan wang sejumlah RM27 juta, RM5 juta, dan RM10 juta di antara 2014 hingga 2015.

Ahli Parlimen Pekan itu dipercayai melakukan perbuatan pecah amanah jenayah berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Kuala Lumpur.

BACA: Perbicaraan Najib berhubung dana SRC bermula Rabu, tiga saksi dijangka beri keterangan

BACA: Perbicaraan Najib: Tiada masalah kalau siar secara langsung - Anwar


Setiap dakwaan tersebut di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang mana ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

BACA: Prosiding kes Najib tidak boleh siar secara langsung

BACA: Perbicaraan kes SRC International Najib ditangguh, tunggu rayuan

Seterusnya, Najib turut didakwa menyalah guna jawatan beliau sewaktu dalam kerajaan dalam memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Tiga lagi tuduhan didengari di Mahkamah Tinggi atas melakukan pecah amanah jenayah terhadap dana yang sama, tetapi kali ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

TUMPUAN PADA PASUKAN PENDAKWARAYA, PEGUAM BELA

Sudah pasti tumpuan media juga akan tertumpu kepada kedua-dua pasukan ini, yang disifatkan terbaik di kalangan yang terbaik dalam fraterniti guaman.

Pasukan Pendakwaan akan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas, dibantu Datuk V. Sithambaran yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya, serta barisan timbalan pendakwa raya sedia ada, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Budiman Lutfi Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan.

Manakala Pasukan Pembelaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dan dibantu oleh Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Syahirah Hanapiah.

Media sebelum ini turut menyebut, tiga orang saksi pertama dijangka akan memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan.

Media memetik sumber sebagai berkata, ketiga-tiga saksi itu adalah pegawai kerajaan dan pengusaha bank yang telah disapina oleh pihak pendakwaan pada Jumaat lepas.

Selain itu, pihak pendakwaan juga dilaporkan akan membawa lebih 60 saksi untuk memberi keterangan dalam kandang saksi pada perbicaraan ini.