Kandungan perjanjian Persekutuan bersama Persekutuan Tanah Melayu yang menyentuh isu hak mutlak Kerajaan Johor yang memungkinkan negeri itu keluar dari Malaysia seandainya syarat dilanggar dianggap terbatal selepas kemerdekaan negara.

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, perjanjian itu dan banyak lagi dokumen termasuk pada zaman negara dijajah British dikira terbatal dengan sendiri selepas hari kemerdekaan.

"Benda ini semua sudah tutup buku, Kuasa Raja-raja Melayu sudah dimasukkan di dalam Perlembagaan.

"Bagaimanapun Kerajaan Persekutuan kena hormat undang-undang Johor. Kuasa raja kekal dan Kerajaan Pusat tidak boleh campur tangan.

"Namun untuk isu Johor keluar Malaysia rasanya tidak timbul lagi. Jika boleh ia pasti memakan masa dan proses yang amat panjang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Ramlah mengulas catatan di laman Instagram Tunku Idris Sultan Ibrahim berkaitan perjanjian bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Catatan itu turut menyebut Johor setuju menandatangani perjanjian 1946 itu dengan mengenakan beberapa syarat.

"Sekiranya mana-mana daripada syarat-syarat tersebut dilanggar, maka terkeluarlah Johor daripada Malaysia," jelas tulisan itu.

Syarat itu turut menyebut, Islam menjadi agama negeri, air dan tanah negeri menjadi hak mutlak Johor serta askar timbalan setia tidak boleh dibubarkan.

BACA: 'TMJ salah sebab tuduh Najib sembunyikan sesuatu' - Nazri

Selain itu, perlembagaan negeri Johor juga tidak boleh diusik dan kuasanya terletak pada tangan sultan.

Tulisan itu juga menyatakan, Johor dikenali sebagai negeri yang merdeka dan berdaulat ketika menandatangani Perjanjian Setia 1885 dengan British.

BACA: Jauhkan diri dari politik..., tegas Nazri kepada TMJ

Dalam pada itu jelas Dr Ramlah, di dalam sistem kerajaan negeri, Sultan Ibrahim merupakan pemerintah tertinggi dan kuasa pentadbiran harian diserahkan kepada pembesar yang dilantik.

Dr Ramlah turut merujuk beberapa insiden melibatkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz yang tidak mempedulikan amaran Tunku Ismail Sultan Ibrahim, malahan menuduh Tengku Mahkota Johor itu bersalah dalam 'krisis' panas di antara mereka.

BACA: #Nothing2Hide: Kenyataan TMJ dapat sokongan netizen

"Nazri seharusnya lebih teliti, tidak payah cabar mencabar seperti apa yang berlaku kini.

"Dia kena ingat kuasa pemimpin politik tertakluk kepada Sultan. Malu kita tengok perselisisihan begini," ujarnya.

BACA: Kepada mereka yang ingin cemar imej saya, rakyat lebih bijak menilai - Tunku Ismail

Tengku Mahkota Johor, Brigadier Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini dilaporkan memuat naik satu status berkaitan #Nothing2Hide di laman Facebook Johor Southern Tigers, dengan menyatakan baginda tidak terkejut apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak hadir pada majlis berkenaan.

Status itu mendapat kecaman selain Nazri menasihatkan Tunku Ismail harus menjauhkan diri daripada politik.