Perkahwinan bawah umur wajar dihentikan serta-merta kerana amalan itu tiada tempat di Malaysia.

Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin berkata ini kerana kanak-kanak di Malaysia perlu diberi pembelaan sewajarnya.

“Kanak-kanak di Malaysia perlu diberi pembelaan sewajarnya. Mereka adalah masa hadapan negara ini.

“Amalan perkahwinan bawah umur ini mesti dihentikan segera,” katanya melalui satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian ketika mengulas seorang lelaki berumur 41 tahun menikahi seorang kanak-kanak bawah umur, 11 tahun, baru-baru ini.

Selaras dengan manifesto kerajaan, beliau berkata, Pakatan Harapan akan menggubal undang-undang untuk menetapkan umur 18 tahun sebagai had umur minimum perkahwinan.

“Wanita Pakatan Harapan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan nasib anak ini dibela sewajarnya,” katanya.

BACA: Isu kahwin budak 11 tahun: JAHEAIK belum terima laporan

BACA: Kerajaan siasat kes kahwin bawah umur di Gua Musang - TPM

Beliau juga menyeru pihak berkuasa di Malaysia terutama Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama berkaitan untuk tidak mengiktiraf perkahwinan ini.

“Tindakan perlu diambil ke atas lelaki dan kedua ibu bapa kanak-kanak yang membenarkan perkara ini untuk berlaku,” katanya.

BACA: Isteri terkilan suami kahwini kanak-kanak 11 tahun

BACA: 'Saya ikat sahaja, belum tinggal bersama'