Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini memohon maaf kerana pindaan perlembagaan yang dibuat semasa pentadbirannya.

Namun, adakah permohonan maaf itu perlu?



Sewaktu Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945, kuasa-kuasa para sultan dan penguasa kerajaan-kerajaan tempatan tidak dikekalkan.

Sultan Siak Sri Indrapura, Sultan Demak, Sultan Pontianak dan yang lainnya di seluruh kepulauan yang besar ini kehilangan kedudukan dan darjat mereka, kecuali Sultan Yogyakarta, yang masih memegang kuasa sebagai gabenor provinsi Yogyakarta hingga kini.

Malaysia bagaimanapun memilih haluan yang berbeza dengan mengekalkan kedudukan sultan yang masih memiliki tampuk pemerintahan.

MESTI BACA: Tun Mahathir memohon maaf

MESTI BACA: Tubuh Suruhanjaya Diraja kaji kesan pindaan perlembagaan

MESTI BACA: Dewan negara lulus Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara


Tun Mahathir hadir beri sokongan kepada usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim
memfailkan injuksi sementara menghalang penguatkuasaan
Akta Majlis Keselamatan Negara 2016

Tidak seperti Indonesia yang menjadi republik, Malaysia mengamalkan sistem raja berpelembagaan yang mana penguasa tertinggi negara – Yang DiPertuan Agong (YDPA) – dipilih dikalangan sembilan sultan di negeri-negeri Melayu.


Sejarah

Malaysia dibentuk menerusi kewujudan negeri-negeri Melayu di Semenanjung manakala politik Sabah dan Sarawak didominasi oleh kesultanan Brunei dan Sulu sebelum zaman penjajahan.

Pihak British mengambil kesempatan terhadap kesetiaan orang-orang Melayu kepada sultan mereka untuk menguasai Tanah Melayu menerusi pemerintahan tidak langsung – sistem Residen British. Penguasa British mendominasi Malaya secara proksi dan secara perlahan-lahan memerintah keseluruhan Semenanjung menjelang abad ke lapan belas dan kesembilan belas.

Setelah berakhirnya pemerintahan Jepun, raja-raja Melayu pada ketika itu, tanpa banyak penentangan, menerima pujukan Sir Harold MacMichael untuk menubuhkan Malayan Union – sistem negara yang akan mengancam kedudukan orang-orang Melayu di bumi mereka sendiri.

MESTI BACA: RUU MKN tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan

Perjuangan kemerdekaan dan penubuhan demokrasi di Malaysia adalah secara umumnya usaha rakyat di bawah pimpinan Perdana Menteri pertama negara ini, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.


Pindaan Perlembagaan

Walaupun pemerintah yang terdahulu bertanggungjawab terhadap berlakunya penjajahan di Tanah Melayu, institusi kesultanan di Malaysia masih dilindungi dan dihormati, seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang keempat telah memulakan pindaan perlembagaan yang menimbulkan kontroversi selepas beliau mengambil alih tampuk pentadbiran pada tahun 1981.

Beliau meminda Artikel 66(5) Perlembagaan Persekutuan yang telah menyebabkan tiada lagi keperluan untuk mendapatkan perkenan diRaja daripada YDPA dalam meluluskan sebarang akta baru Parlimen.

Perkenan diRaja hanya menjadi sekadar formaliti dalam meluluskan rang undang-undang.

Tindakan ini telah menghadkan kuasa-kuasa YDPA dan senario ini kekal sehingga hari ini.

Baru-baru ini, Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 telah berkuatkuasa pada 1 Ogos 2016.

Akta ini bertujuan untuk memperkukuh kedudukan kerajaan dalam menangani peningkatan ancaman keganasan dan ekstremisme.

MESTI BACA: Rang Undang-Undang MKN 2015 terima tentangan masyarakat sivil

Rang undang-undang ini telah menerima kritikan oleh beberapa kumpulan hak asasi manusia dan organisasi-organisasi lain di dalam dan di luar Malaysia memandangkan ianya menyerupai Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah dimansuhkan.


Kuasa YDPA

Sebelum zaman penjajahan, kuasa raja-raja Melayu adalah mutlak.

Sultan Melaka, sebagai contoh, tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang dan titahnya mesti diperkenankan.

Kuasa penguasa-penguasa Melayu terhakis secara perlahan-lahan menerusi campur tangan penjajah asing.

Pada zaman British, kuasa-kuasa sultan dihadkan hanya sebagai penjaga agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Skop kuasa ini diteruskan sewaktu zaman pendudukan Jepun dan boleh dikatakan terpakai sehingga kini menerusi amalan raja berpelembagaan.

Kuasa YDPA boleh dibahagikan kepada dua kategori menurut Perlembagaan Persekutuan:

(a) kuasa-kuasa yang dijalankan menurut nasihat Perdana Menteri, menteri, kabinet ataupun atas nasihat pegawai atau institusi lain;
(b) kuasa-kuasa yang dijalankan sendiri tanpa nasihat dari mana-mana pihak.

Bagi kategori kedua, kuasa-kuasa YDPA hanya meliputi perkara-perkara dalam melantik Perdana Menteri, menangguhkan kebenaran untuk membubarkan Parlimen dan untuk memanggil mesyuarat dengan Majlis Raja-raja.


Keseimbangan Kuasa (Check and Balance)

Dengan berkuatkuasanya Akta Majlis Keselamatan Negara 2016, Tun Dr Mahathir memohon maaf kerana telah menghadkan kuasa YDPA dalam proses untuk meluluskan undang-undang baru di Parlimen.


Penjelasan Tun Mahathir: Mengapa saya bertemu Anwar

Bagi sesetengah pihak, permohonan maaf ini dilihat sebagai permohonan ikhlas kerana tindakan beliau dikatakan telah menggugat prosedur keseimbangan kuasa di Malaysia.

Akan tetapi, ada juga pihak yang berpendapat permohonan maaf ini sebenarnya taktik politik sebagai protes terhadap kerajaan semasa yang telah meluluskan undang-undang kontroversi ini.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan raja berpelembagaan yang mendukung sistem demokrasi, ahli-ahli Dewan Rakyat adalah wakil yang dilantik menurut kehendak rakyat yang ditetapkan menerusi pilihanraya umum.

Secara umumnya, boleh dikatakan sebarang tindakan yang dilakukan oleh Dewan Rakyat adalah bayangan dari keinginan rakyat.

Oleh itu, adakah menjadi suatu keperluan bagi YDPA untuk memberikan perkenan diRaja kepada mana-mana rang undang-undang bagi memastikan wujudnya keseimbangan kuasa di dalam sistem perundangan Malaysia?

Mekanisme keseimbangan kuasa telahpun wujud dengan adanya blok pembangkang di dalam Dewan Rakyat.


Kesimpulan

Permohonan maaf yang dibuat Tun Mahathir dialu-alukan bagi memulihkan hubungannya dengan institusi beraja yang terjejas sewaktu beliau memegang tampuk pentadbiran.

Walau bagaimanapun, permohonan maaf ini adalah suatu yang tidak perlu kerana usaha beliau meminda perlembagaan adalah selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.

Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 telah digubal oleh wakil rakyat yang dipilih menerusi pilihan raya.

Ahli-ahli Dewan Rakyat mewakili keinginan rakyat jelata yang beroperasi menerusi sistem demokrasi.

Sebarang tindakan yang boleh menggugat proses legislatif boleh dilihat sebagai penghalang demokrasi – asas kepada sistem perundangan Malaysia.


* Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan penyelidik bersekutu di Pertubuhan Konsultatif Perundangan Asia Afrika (AALCO), New Delhi, India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.