Perolehan dua helikopter AW 139 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan sokongan operasional dan latihan didapati mempunyai beberapa kelemahan.

Ini adalah penemuan yang didapati dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1.

Antara kelemahan yang didapati dalam perolehan tersebut adalah harga kontrak yang dinyatakan adalah berbeza sedikit dengan perincian harga kontrak sebenar yang disertakan dalam appendix dengan perbezaan sejumlah EUR0.88 juta.

Laporan itu turut mendapati bahawa Sijil Final Acceptance Test (FAT) telah dikeluarkan walaupun terdapat spesifikasi kontrak yang masih belum dipatuhi sepenuhnya.

Syor audit yang dikemukakan termasuk kementerian itu perlu memastikan harga kontrak yang dinyatakan adalah bertepatan dengan appendix yang disertakan dalam kontrak.

Kementerian itu juga disyorkan untuk mengkaji perkara di bawah Klausa 10 – Inspection and Acceptance of the Helicopter and Equipment untuk memperincikan terma tertentu bagi membenarkan FAT dikeluarkan walaupun spesifikasi kontrak masih belum dipatuhi sepenuhnya.

“Selain itu, kementerian dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) hendaklah memantau dengan rapi dan memastikan kontraktor memenuhi semua spesifikasi kontrak yang belum dipatuhi di peringkat FAT supaya helikopter saiz sederhana (AW 139) dilengkapi dengan spesifikasi yang ditetapkan.

“Sekiranya kontraktor tidak mematuhi spesifikasi dalam kontrak ini, tindakan seperti menahan bayaran kemajuan akhir atau merampas bon pelaksanaan hendaklah diambil,” kata pengesyoran itu.