USAHA melawan COVID-19 telah masuk fasa ke 5, dimana kita telah berjaya mencapai apa yang dikatakan sebagai ‘flatten the curve’.

Ini membawa kepada pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dimana pelbagai kawalan diberi lebih banyak kelonggaran bersyarat. Bererti, situasi sudah hampir kepada ‘back to status quo’.

Malaysia patut berbangga dengan pencapaian ini. Kita mampu mencipta satu keadaan yang amat baik, malah mencapai antara yang terbaik di dunia.

Ini menunjukkan kita mempunyai kerajaan yang cekap, disamping perpaduan rakyat berbilang bangsa yang sangat kukuh telah berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang sangat efisien dalam melawan virus covid ini.

Pun begitu dalam masa Malaysia sedang berada di puncak kemenangan, isu perpaduan nampak sedikit goyah. Pelbagai isu yang sebenarnya hanya bersifat individu, dijadikan punca yang terus melibatkan ketetangan kaum.

Jika diamati, beberapa kenyataan yang telah dibuat oleh individu terkenal (Mydin, Naza dan Jakel) sepatutnya tidak dijadikan isu perkauman yang menggugat perpaduan.

Sekalipun ramai tidak bersetuju dengan statement yang diberikan, ‘hukuman’ sepatutnya diberikan terus hanya kepada individu tersebut, tanpa melibatkan apa-apa isu perkauman yang menjejaskan perpaduan.

Perpaduan yang kita tunjuk dalam usaha mendepani COVID-19 ini wajar dijadikan contoh, bahawa dalam apa juga keadaan, kita mampu melawan apa juga rintangan yang datang.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perpaduan adalah punca kemenangan.

Sebagai contoh dari segi perpaduan dalam mematuhi PKP. Jelas kita sama-sama bersemangat dalam memastikan perintah ini dituruti bersama.

Masing-masing patuh, dan menasihati sesama sendiri tentang pentingnya untuk arahan ini dipatuhi. Ada sahaja yang melanggar, satu Malaysia merasakan kegusaran yang sama.

Perpaduan dalam konsep peduli lingkungan juga wujud sepanjang tempoh PKP. Bergerak melalui KRT, NGO atau individu, masing-masing bersemangat untuk sama-sama memberi bantuan dalam terutama berkaitan keperluan asas.

Aplikasi Whatsapp juga dipenuhi dengan memberi ‘update’ berkenaan keperluan dan aktiviti peduli lingkungan ini. Tanpa mengira kaum, asal ada keperluan kebajikan, ia pasti akan ditangani segera tanpa menunggu pihak berwajib.

Perpaduan melalui persatuan terutama NGO juga menampakkan fungsi yang sangat menyerlah ketika itu. Selain kebajikan yang bersifat kemasyarakatan, NGO-NGO ini juga membantu kerajaan dalam memberi sumbangan kepada barisan hadapan.

Keperluan seperti topeng muka, cecair pembasmi kuman dan peralatan perlindungan diri (PPE) tidak putus-putus. Sehinggakan, ada juga yang kreatif dengan mencipta sendiri keperluan tersebut akibat daripada bekalan yang tidak mencukupi.

Ini belum termasuk perpaduan melalui atas talian. Pelbagai cabaran dan aktiviti atas talian yang berbentuk nasihat, perbincangan mahupun hiburan muncul sepanjang tempoh PKP.

Daripada aktiviti masakan hinggalah ke ceramah berkaitan keagamaan. Semuanya atas satu objektif, agar kita sama-sama tenang dalam usaha menangani COVID-19.

Oleh itu, kita terus wajar menyemai perpaduan demi pembangunan negara. Setiap permasalahan harus diselesaikan tanpa melibatkan isu perkauman.

Elakkan dari membuat apa-apa kenyataan yang boleh membawa kepada perpecahan. Bertindak biarlah menurut akal.



* Khairul Anwar Ahmad Nadzer merupakan pelajar sarjana Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Pengajian Komunikasi dan Media, UiTM.

**Beliau juga merupakan Ahli Persidangan Meja Bulat Kluster Kenegaraan (Sosialisasi Politik), Institut Pembangunan Kecemerlangan Kepimpinan i-LEAD.

*** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semstinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.