Persepsi membarah konflik manusia-kera di Malaysia

Persepsi membarah konflik manusia-kera di Malaysia
Kera atau nama saintifiknya Macaca fascicularis . -Foto Najmuddin M Faudzir
RAKAMAN video pendek berdurasi 25 saat yang dimuat naik ke laman Facebook menunjukkan kekejaman seorang lelaki menembak seekor kera di dalam kurungan dengan sepucuk pistol menjadi tular dalam kalangan netizen minggu ini.

Pelaku dilapor berjaya diberkas di Sitiawan, Perak bersama seorang ahli keluarganya dan sedang disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

BACA: Kejam! Selebriti kecam lelaki tembak monyet gara-gara tak sebut 'Baby Sayang'

BACA: Lelaki kejam tembak monyet akhirnya ditahan polis



Perkara ini menjadi perhatian seluruh negara akibat kekejaman dan hilangnya nurani mengasihi dan mengasihani haiwan ciptaan Ilahi.

Hanya kerana imaginasi aneh remaja itu yang meminta kera itu memanggilnya “baby sayang” dan tiga saat sahaja diberikan untuk kera menuruti permintaan tidak masuk akal itu.


Kera – Nama Yang Lebih Tepat

Pertama sekali, haiwan yang menjadi mangsa kekejaman di dalam video itu lebih tepat seharusnya dipanggil sebagai Kera atau nama saintifiknya Macaca fascicularis.

Kekeliruan yang sangat biasa dalam kalangan rakyat Malaysia ialah memanggil semua haiwan primat sebagai monyet, sedangkan nama tempatannya adalah berbeza mengikut spesies masing-masing.

Masyarakat Malaysia sebenarnya sangat bijak di dalam memberikan nama kepada spesies monyet yang berbeza ini.

Nama Kera contohnya berasal dari perkataan “kkkk-rrrrr” yang divokalkan oleh kera apabila berkomunikasi.

Kekeliruan yang paling biasa di dalam masyarakat ialah untuk membezakan kera dan beruk.

Satu ciri yang paling nyata yang mudah digunakan untuk membezakan kera dan beruk, ialah panjang ekor. Kera mempunyai ekor yang panjang sesuai dengan nama spesies ini di dalam bahasa Inggeris iaitu long-tailed macaque, manakala beruk pula mempunyai ekor pendek bersimpul atau dikenali sebagai pig-tailed macaque.

Gambar A menunjukkan kera dengan ekor yang panjang, manakala gambar B menunjukkan beruk dengan ekor yang pendek dan bersimpul -Foto Muhammad Abdul Latiff & Najmuddin M Faudzir


Kepelbagaian dan Ekologi Kera

Kera mempunyai taburan yang sangat luas iaitu bertaburan di tanah besar Asia Tenggara dan kepulauan lain di Pentas Sunda, dari latitud 210N hingga 100S dan longitud 920E hingga 1260E.

Kera bertaburan dari selatan Bangladesh dan selatan Burma ke bawah meliputi kawasan Indochina hingga ke Segenting Kra, Semenanjung Malaysia, Sumatera, Borneo, Kepulauan Jawa, Filipina dan Timor.

Selain itu, spesies ini juga bertaburan di pulau-pulau kecil di Pentas Sunda seperti di utara pantai Sumatera di Pulau Nicobar, dan juga pulau-pulau lain seperti Pulau Simeulue dan Pulau Lasia.

Habitat kepulauan lain termasuk Maratua di Kepulauan Kalimantan, Karimunjawa, Koh Khram Yai di Thailand, Con Son di Vietnam dan beribu pulau-pulau kecil di Pentas Sunda.

Peta taburan spesies Kera yang merupakan antara haiwan primat yang paling berjaya di dunia kerana menguasai hampir keseluruhan kawasan Asia Tenggara (Diadaptasi dari Gumert et al. 2011)

Kehebatan spesies ini menguasai sebahagian besar kawasan Asia Tenggara ialah kerana sifatnya yang sangat oportunis dan sangat hebat beradaptasi pada perubahan sekeliling.

Spesies ini berjaya mendominasi habitat yang pelbagai seperti hutan paya bakau, hutan luruh, hutan malar hijau, hutan primer dan sekunder.

Antara faktor yang menyumbang kepada kompetensi kera untuk meningkatkan kelangsungan hidup ialah sifat oportunis populasi spesies ini dalam aspek diet.

Spesies ini mempunyai julat variasi diet yang sangat tinggi iaitu pemakan buah, ketam, rumput, cendawan, telur burung, katak, udang dan sotong.

Namun julat pemakanan kera kini yang hidup di kawasan berhampiran manusia sudah tentu menyebabkan ia beradaptasi dan menjadikan makanan manusia sebagai sumber bertenaga tinggi untuknya.

Tambahan dengan kadar pembiakan yang cepat dan struktur sosial yang kompleks, populasi kera berkembang di kala haiwan lain mengalami penurunan populasi yang berterusan.


Konflik Manusia-Kera di Malaysia

Malaysia merupakan antara negara yang mengalami masalah konflik manusia-kera iaitu interaksi di antara kera yang hidup di kawasan berdekatan penempatan manusia yang mana implikasinya selalunya negatif kepada kera dan juga manusia.

Menggunakan pemahaman mudah, kera mengganggu manusia dan menyebabkan kerugian dari segi harta benda, kecederaan ataupun gangguan emosi.

Adakah manusia sahaja yang rugi? Sudah tentu tidak, kerana kera juga terjejas secara negatif kerana ia terpaksa hidup di dalam persekitaran yang berbahaya dan sering diancam oleh manusia.

Konflik manusia-kera ini secara utamanya terjadi apabila faktor antropogenik seperti perubahan pola penggunaan tanah, banyak menghasilkan kawasan pinggir hutan.

Haiwan liar lain yang tidak mempunyai adaptasi yang baik akan terjejas dengan teruk dan tidak dapat teruskan hidup di kawasan itu.

Ini jelas berbeza dengan kera yang mempunyai keupayaan beradaptasi yang tinggi dengan perubahan alam sekitar.

Seperti dibincangkan sebelum ini keupayaan ia menyesuaikan diri merentas keperluan ekologi menyebabkan ia menyesuaikan diri untuk hidup di kawasan pinggiran hutan dan memasuki kawasan penempatan manusia seperti kebun, kawasan pembuangan sampah, malah kawasan perumahan untuk mencari makanan.

Sumber makanan yang pelbagai dan bertenaga tinggi daripada kawasan-kawasan ini secara tidak langsung menampung kelangsungan dan pengembangan populasi spesies ini.

Aduan konflik yang dilaporkan pada tahun 2017 sahaja mengikut statistik Jabatan Perhilitan ialah sebanyak 4,927 aduan merangkumi 66.13 peratus rekod aduan konflik manusia - hidupan liar tahun 2017 di seluruh Semenanjung Malaysia.

Ini jelas menunjukkan dominasi kera sebagai haiwan yang perlu diberi perhatian dari aspek pengurusan konflik dan konservasi.

Bagi golongan masyarakat yang pernah mengalami masalah ini, selalunya di kawasan luar bandar atau di kawasan berhampiran pinggir hutan, persepsi kepada haiwan ini selalunya adalah negatif, sama ada disulami ketakutan atau kebencian.

Mengapa? Kerana kelakuan spesies ini yang selalunya merosak tanaman, menggeledah tong sampah, mencuri makanan, berkelakuan agresif dan menakutkan manusia di kawasan itu.

Maka seperti episod menembak kera di dalam kurungan yang tragis yang sedang tular, banyak kes yang berlaku yang mana penduduk setempat menggunakan pelbagai strategi untuk menangani sendiri masalah kera di kawasannya.

Masih ada penduduk yang tidak menyeberangi batas kemanusiaan dengan menggunakan kaedah tradisional seperti meletakkan patung harimau, membakar mercun malah ada kepercayaan menggunakan air kencing harimau untuk menakutkan kera ini.

Tetapi ada yang keterlaluan dengan menggunakan senjata, racun, perangkap dan lain-lain kaedah yang memberikan implikasi yang amat buruk kepada kera.

Di sini jelas implikasi negatif kepada manusia dan juga kera sendiri. Anehnya, kemarahan penduduk setempat, bukan hanya ditujukan kepada kera, tetapi juga kepada Jabatan Perhilitan seperti menyalahkannya atas masalah yang disebabkan oleh kera.

Masyarakat perlu memahami fakta bahawa Jabatan Perhilitan dengan jumlah staf yang amat tidak mencukupi, bukan hanya perlu menguruskan konflik kera yang tidak pernah henti sejak puluhan tahun tetapi ia juga tidak akan pernah mampu untuk menyelesaikan masalah ini sepenuhnya melainkan dengan kerjasama dari masyarakat sendiri.


Hala tuju Penyelesaian Konflik Manusia-Kera

Menghasilkan pelan mitigasi konflik manusia-kera merupakan satu tindakan holistik dan bukan hanya menjadi tanggungjawab Jabatan Perhilitan sahaja.

Beberapa agensi lain turut memainkan peranan yang sama seperti kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan jawatankuasa masyarakat setempat.

Pelan pengurusan konflik ini juga tidak akan mampu menyelesaikan masalah kera dengan sekelip mata, tetapi dengan langkah dan tindakan yang berdisiplin dan berterusan, masalah ini mampu dirungkai.

Usaha yang mampu dilakukan oleh masyarakat setempat untuk menangani masalah gangguan kera ialah dengan memberikan kesedaran dan pemahaman kepada masyarakat sekeliling tentang faktor-faktor yang mendorong gangguan dan konflik ini berlaku.

Contohnya pembuangan sampah secara tidak terkawal yang akhirnya menjadi kawasan sumber makanan bagi kera.

Jika benar masyarakat setempat ingin menyelesaikan gangguan ini, khususnya melibatkan kawasan pembuangan sampah, maka harus dipastikan, kera tidak diberikan akses kepada sumber makanan ini dengan mengaplikasikan sistem pengumpulan sampah tertutup dan tong sampah yang tidak mampu dibuka oleh kera.

Kajian terperinci telah dijalankan oleh Professor Dr Badrul Munir Md Zain dari Universiti Kebangsaan Malaysia, penulis sendiri dan Dr Kamarul Hambali dari Universiti Malaysia Kelantan mengenai kelakuan gangguan kera dan faktor kawasan sampah tidak terurus dibuktikan memainkan peranan yang penting.

Masyarakat juga perlu berdisiplin untuk tidak memberi makanan kepada kera, kerana perbuatan ini akan mengajar kera untuk bergantung kepada sumber makanan manusia seperti roti, nasi, sayuran dan sebagainya, dan bukannya makanan semulajadinya.

Walaupun anda menjaga rumah anda dengan baik, tetapi jika ada individu di kawasan tersebut yang masih memberi makanan kepada kera, maka masalah ini akan sentiasa berterusan.

Untuk meningkatkan kesedaran perkara ini, agensi berkaitan hendaklah menaikkan papan-papan tanda bagi tujukan memberi peringatan dan mendidik masyarakat mengenai isu ini.

Tahukah anda beberapa negara di Asia telah pun menjalankan undang-undang mengenakan denda sehingga ribuan ringgit kepada mana-mana pihak yang memberi makanan kepada kera?

Mampukah kita laksanakan perkara ini di Malaysia? Tepuk dada, tanyalah kesedaran dan kematangan masing-masing.

Akhirnya, kita perlu sedar bahawa kita yang bertindak melulu membuka tanah dan hutan yang merupakan habitat asal kera.

Kita juga menyebabkan kualiti habitat merosot menyebabkan makanan semulajadi kera berkurangan dan menyebabkan ia terpaksa mencari makanan di kawasan penempatan manusia.

Kita bangunkan kawasan perumahan di kawasan pinggir hutan, bersebelahan ladang kelapa sawit tanpa menilai fakta kehadiran kera di situ, dan apabila gangguan wujud, kita menyalahkan Jabatan Perhilitan dan agensi berkaitan.

Kita perlu mengubah persepsi kita bahawa kera sengaja mencipta permusuhan dan ketegangan kerana sebenarnya ia juga makhluk ciptaan Tuhan yang terus berusaha meneruskan kelangsungan hidup di kala habitatnya dimusnahkan untuk tujuan kepentingan manusia.

Satu-satunya ‘kesalahan’ ialah ia memilih untuk menyesuaikan diri di dalam arus perubahan dan pembangunan ketamadunan manusia.


Penulis ialah Penyelidik di Pusat Penyelidikan Penggunaan Mapan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan & Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.