Pesawat ringan jenis GT500 Microlight yang terhempas di Sungai Mati di sempadan Melaka dan Johor di sini semalam tidak mendapat kebenaran untuk terbang daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan berkata perkara tersebut dimaklumkan pihaknya oleh DCA bahawa jabatan berkenaan tidak menerima sebarang permohonan bagi menerbangkan pesawat tersebut.

"Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada pihak DCA, juruterbang berkenaan mempunyai lesen penerbangan tetapi aktiviti untuk menerbangkan pesawat ringan tersebut tidak mendapat kebenaran atau DCA tidak mendapat apa-apa maklumat tentang aktiviti tersebut.

"Seharusnya apa jua aktiviti penerbangan sama ada melibatkan pesawat persendirian atau sebaliknya perlu dimaklumkan atau mendapat kebenaran daripada DCA bagi tujuan keselamatan," kataya kepada pemberita selepas program Hari Sukan Negara peringkat Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan lanjut kes itu kini diserahkan pada pihak DCA dan punca kejadian masih belum diketahui.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Sabtu, pesawat tersebut terhempas pada jarak kira-kira 200 meter dari landasan Aerodrome Sungai Rambai, Jasin di sini.

Nahas itu mengorbankan juruterbang Yee Yoon Fah, 54, yang maut di tempat kejadian manakala rakannya Mohd Shahrul Shafiri, 35, yang merupakan anggota Pasukan Gerakan Am, cedera di muka serta badan dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.

-- BERNAMA