Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar memberitahu dewan hari ini bahawa langkah mengadakan pilihan raya bagi 24 pihak berkuasa tempatan di negeri ini akan melibatkan kos yang sangat tinggi.

Beliau berkata menurut Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri perlu menanggung kos yang amat "besar dan tinggi" itu.

Oleh itu, beliau menolak usul Wong King Wei (DAP-Padungan) agar pilihan raya pihak berkuasa tempatan diadakan di negeri ini.

Sambil merujuk kepada Seksyen 97(1) Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak, Mohamad Asfia berkata tiada mana-mana pihak berkuasa tempatan di negeri ini boleh mempunyai autonomi dari segi kewangan.

"Jadi, ia akan menggunakan dana perbendaharaan negeri untuk mengadakan pilihan raya itu.

"Kerajaan negeri akan perlu memberi dana bagi mewujudkan infrastruktur yang diperlukan, membuat penyempadanan kawasan pilihan raya, pendaftaran dan penerbitan rang daftar pemilih," katanya.

Beliau berkata satu badan khas juga perlu ditubuhkan untuk mengendalikan pilihan raya itu.

Menurut beliau, pilihan raya itu juga boleh menjejaskan kestabilan politik di negeri ini dan menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat.

Katanya Sarawak terjejas dari segi ekonomi dan politik apabila pilihan raya kerajaan tempatan diadakan pada 1950-an dan 1960-an.

Mengenai isu berkaitan, Mohamad Asfia berkata sistem pengurusan Majlis Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) perlu sama dengan 24 majlis tempatan lain.

"Untuk ini, peraturan lain perlu dilaksanakan iaitu sama ada meminda, memansuhkan atau menghapuskan ordinan di bawah mana mereka ditubuhkan dahulu," katanya.

Beliau berkata, satu rang undang-undang juga perlu dikemukakan kepada Dewan untuk dibahaskan dan diluluskan.

Ketika mengemukakan usul itu, Wong berkata pilihan raya pihak berkuasa tempatan perlu diadakan bagi menjamin "kecekapan dan kebertanggungjawaban" setiap pihak berkuasa tempatan dalam operasi hariannya.

Kata beliau, pada masa ini, pengerusi atau datuk bandar serta timbalan mereka dan semua anggota majlis merupakan pelantikan politik bagi mewakili semua parti komponen Barisan Nasional.