Persatuan Peniaga Wisma Yakin menggesa pihak berkuasa untuk menyegerakan proses pemindahan gerai penjaja di hadapan bangunan tersebut.

Menurut Pengerusinya, Datuk Maideen Kadir Shah, ini kerana operasi penjaja tersebut telah menghalang pandangan pengunjung yang melalui kawasan tersebut.

"Masalah timbul apabila pembangunan yang dibuat di hadapan Wisma Yakin 13 tahun dahulu tidak mengikuti persetujuan yang diberikan Jawatankuasa Peniaga Wisma Yakin," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, selepas beberapa siri perjumpaan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), persetujuan telah dicapai untuk memindahkan penjaja ke tempat lain.

"Keputusan ini dicapai pada bulan Mei 2017.

"Namun pada November tahun lepas, DBKL telah membuat perbincangan semula dan mengubah perkara yang telah dipersetujui pada bulan Mei tahun yang sama," katanya.

Menurut Maideen, perancangan baharu itu melibatkan pemindahan gerai penjaja atau kios ke sebelah tepi kawasan Wisma Yakin.

"Kita bimbang perkara ini akan berlarutan seperti yang berlaku sekarang. Apa yang kami inginkan adalah untuk penjaja dipindahkan ke satu kawasan baharu," katanya.

Sementara itu, Astro Awani turut menemubual beberapa peniaga yang masih beroperasi di Wisma Yakin.

Mereka melahirkan kekecewaan kerana tiada penyelesaian dicapai walaupun masalah sudah berlanjutan sejak bertahun lamanya.

"Jadi, dalam keadaan sekarang ini, Wisma Yakin seolah-olah tidak wujud.

"Malah, pelanggan tetap pun merasakan tiada lagi kedai di Wisma Yakin disebabkan gerai penjaja di hadapan," kata pemilik Den Wahab, Zaharudin Abdul Wahab.

Pandangan sama turut dikongsi Hayati Shuaidi yang menyatakan bahawa bilangan pengunjung ke kedainya berkurangan sejak beberapa tahun sebelum ini,

"Kalau dahulu, musim raya selalu meriah. Sekarang sudah tidak begitu meriah seperti dahulu," kata Hayati yang sudah berniaga di Wisma Yakin selama lebih 20 tahun.

Seorang lagi peniaga, Yusni Tahir berharap agar penjaja di hadapan Wisma Yakin dapat dipindahkan segera seperti dijanjikan.

"Jika dipindahkan, baru mudah untuk pelanggan datang.

"Itu sahaja puncanya. Apabila susah untuk melalui kawasan ini dan cari parkir, orang tidak datang," katanya.