Pintar, prihatin jadikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin disegani

Pintar, prihatin jadikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin disegani
Kepintaran yang dimiliki baginda itu diterjemahkan dengan jelas pada setiap titah dengan menyentuh segenap aspek merangkumi isu global, pentadbiran kerajaan mahupun kehidupan rakyat.
KUALA LUMPUR: Kecemerlangan akademik dan lantang melontarkan pandangan menjadikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja yang berintelektual tinggi dan disegani.

Sultan Nazrin, 62, yang mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan secara lantang akan menegur pihak pentadbir sekiranya terdapat perkara yang tidak betul terutama yang melibatkan kesejahteraan rakyat.

Diputerakan pada 27 Nov 1956, di Georgetown, Pulau Pinang, baginda juga mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat selain Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, England.

BACA: Sultan Pahang sah YDP Agong baharu
Kepintaran yang dimiliki baginda itu diterjemahkan dengan jelas pada setiap titah dengan menyentuh segenap aspek merangkumi isu global, pentadbiran kerajaan mahupun kehidupan rakyat.

Antara yang diingati pastinya teguran baginda terhadap pemimpin yang tidak amanah dan berintegriti hingga mengakibatkan ummah berada dalam sengsara semasa sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2018 di Putrajaya.

Sultan Nazrin dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35 pada 29 Mei 2014, manakala istiadat pertabalan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 6 Mei 2015.

Putera sulung Almarhum Sultan Azlan bersama Tuanku Bainun yang merupakan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) diangkat menjadi Sultan Perak berikutan kemangkatan ayahanda baginda pada 28 Mei 2014.

Sultan Nazrin dilantik sebagai Canselor Universiti Malaya 16 Julai 2014 selain merupakan Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar selepas ia dinaik taraf daripada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah pada 2016.

Sultan Nazrin diijabkabulkan dengan Tuanku Zara Salim,46, pada 17 Mei 2007 dan pasangan diraja itu dikurniakan seorang putera, Raja Azlan Muzzaffar Shah,11, serta seorang puteri Raja Nazira Safya,7.

Pada 13 Dis 2016, Sultan Nazrin dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 2 Nov lalu, baginda selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong menandatangani pengisytiharan menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong bila penyandang Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan.

Di sebalik ketegasan baginda, Sultan Nazrin amat prihatin dan mudah tersentuh dengan kesusahan rakyat antaranya kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pada 17 Dis lalu dalam rusuhan di tapak kuil Seafield, Subang Jaya, November lepas.

Perkara itu jelas apabila baginda sebak dan menitiskan air mata ketika bertitah pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Ahli-ahli Majlis Agama Islam, Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang.

-- BERNAMA

Tag: Sultan Nazrin Shah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.