Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

PKP: Ketua jabatan jangan letak kesalahan di bahu penjawat awam semata-mata - Cuepacs

PKP: Ketua jabatan jangan letak kesalahan di bahu penjawat awam semata-mata - Cuepacs
Adnan berkata, Cuepacs kesal masih ada rakyat tidak memahami tugas penjawat awam ketika PKP. Gambar/ Bernama.
KUALA LUMPUR: Sebahagian penjawat awam termasuk polis terpaksa bekerja hampir 24 jam sehari menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi keselamatan rakyat Malaysia, justeru jangan sengaja mencabar mereka, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya, Adnan Mat berkata, orang ramai sebaliknya perlu menghargai pengorbanan mereka yang meninggalkan keluarga di rumah dan terpaksa membahayakan diri dengan berada di barisan hadapan bagi menghadapi ancaman COVID-19.
Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu memahami tugas penjawat awam dan memberikan kerjasama yang baik kepada mereka.

“Malah ada yang membuat hantaran di media sosial mencabar pihak berkuasa hanya kerana tidak puas hati tindakan anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
“Janganlah kita sengaja mencabar kesabaran petugas barisan hadapan. Membuat provokasi (bermakna anda) seolah-olah mahu melanggar undang-undang dan mencabar kesabaran petugas barisan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau mengulas tindakan segelintir masyarakat yang masih tidak memahami tugas penjawat awam sepanjang PKP dengan ada antara mereka yang ingkar mengeluarkan kata-kata jelek kepada penguatkuasa yang bertugas.

BACA: Perintah: Bekas askar direman tiga hari kerana keluarkan kata-kata kesat kepada polis

BACA: PKP: Beberapa jalan di Klang ditutup sepenuhnya mulai esok




Dalam pada itu, Adnan mengingatkan ketua jabatan supaya membuat pertimbangan sewajarnya sebelum meletakkan kesalahan di bahu penjawat awam sahaja jika menerima aduan.

Katanya, ketua jabatan juga tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh melunturkan motivasi kerja penjawat awam yang bersungguh-sungguh menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka.

“Setiap keputusan yang dilakukan tidak boleh bertujuan untuk menjaga hati rakyat sedangkan petugas barisan hadapan melaksanakan tugas dengan baik mengikut situasi semasa yang memerlukan.

“Sokongan ketua jabatan amat diperlukan dalam situasi penjawat awam yang berhadapan tekanan kerja tinggi ketika ini,” katanya.