Mahu mencuba nasib untuk pulang ke kampung dengan merentas negeri tanpa sebarang surat kebenaran menyebabkan 17 pemandu dikompaun RM1,000 sebaik tiba di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan pemandu yang tidak mempunyai surat kebenaran dan memberi alasan selain kecemasan atau kebajikan.

Beliau berkata, semua kenderaan terbabit, yang dikompaun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei lalu, telah diarahkan berpatah balik ke tempat asal.

Jelasnya, polis bersama anggota tentera akan memeriksa dokumen surat kebenaran dengan teliti bagi mengelakkan ada yang cuba mencuri peluang untuk pulang ke kampung secara haram.

"Kepada mereka yang didapati rentas negeri tanpa mempunyai sebarang kebenaran, perlu diingatkan sekali lagi, pergerakan ini perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.

"Sekiranya gagal, anda semua akan berhadapan dengan tindakan undang-undang dan tidak akan terlepas.

"Dan, kita akan pergi rumah ke rumah untuk buat pemeriksaan, juga pemeriksaan di jalan-jalan untuk memastikan arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dapat dipatuhi," katanya.

BACA: Dua lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan, polis terus buru pemandu mabuk

Mohd Rozi berkata, walaupun sudah beberapa kali dimaklumkan bahawa merentas negeri tanpa kebenaran adalah satu kesalahan, namun masih ada yang cuba melakukannya.

Katanya, walaupun syarat pergerakan sudah dilonggarkan berbanding PKP, ia bukan bermakna orang ramai boleh bergerak sesuka hati.

BACA: Hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk - Pakar kriminologi

Menyentuh isu pemandu mabuk yang terlibat dalam kemalangan, Mohd Rozi berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan meminta pihak berkuasa memberi hukuman setimpal ke atas pemandu yang memandu dalam keadaan tidak waras hingga menyebabkan kematian.

"Setiap hari Pasukan Penguat kuasa Trafik Daerah Kota Setar membuat pemantauan dan menjalankan operasi bagi memastikan pemandu-pemandu yang degil, yang memandu dalam keadaan mabuk, tidak terlepas daripada tindakan.

"Beberapa tangkapan telah dibuat dalam tempoh PKP ini dan kesemua mereka telah diambil tindakan yang maksimum untuk memastikan ia memberi pengajaran kepada masyarakat yang lain," katanya.

BACA: Pemandu mabuk hampir rempuh sekatan jalan raya direman

Tambah Mohd Rozi, memandu di bawah pengaruh alkohol bukan sahaja membahayakan nyawa pemandu tetapi juga pihak berkuasa yang menjalankan operasi atau sekatan jalan raya dan orang awam serta pengguna jalan raya lain.

Pada Rabu malam, seorang pemandu nyaris merempuh anggota penguat kuasa yang sedang melakukan sekatan jalan di Plaza Tol Hutan Kampung.