Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Masjid India kini dikuatkuasakan sehingga 28 April depan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 di sekitar kawasan berkenaan.

Pemantauan Astro AWANI pada tengah hari Selasa mendapati, setiap laluan telah disekat serta di kawal ketat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari unit satu Rejimen Renjer Diraja (1RRD).

Sekatan laluan meliputi Jalan Mushi Abdullah, Jalan Tun Perak, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Melaka dan Jalan Ampang.

Turut meninjau kawasan itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

BACA: COVID-19: PKPD Hulu Langat tamat hari ini, Masjid India jadi PKPD ke-5

Menurut Mazlan, pihaknya telah menempatkan jumlah anggota yang secukupnya dalam memastikan keselamatan di sekitar kawasan PKPD terbabit berada dalam keadaan terbaik.

"PKPD ini, kita dalam perketatkan 15 laluan di mana hanya ada satu jalan masuk dan keluar. Bermaksud bahawa setiap laluan ada anggota bertugas dan kita buka satu jalan di Menara One City ini, dan satu lagi laluan di Jalan Tun Perak.

"Kami menjamin keselamatan dan memastikan tiada pergerakan di dalam kawasan PKPD ini," katanya.


Kawasan PKPD seluas satu kilometer persegi itu melibatkan 10,000 penghuni termasuk di Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Ia turut melibatkan puluhan rumah kedai dan premis perniagaan termasuk hotel bertaraf tiga bintang yang terpaksa ditutup di bawah PKPD.