Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad dilihat sebagai keputusan terbaik bagi seluruh rakyat negara ini.

Ini kerana menurut Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, pelaksanaan perintah itu dapat mengimbangkan aspek kesihatan mental masyarakat dan ekonomi negara.

“Mungkin ada yang tidak setuju dengan pelaksanaan PKPP ini, tapi pada pendapat saya secara keseluruhan kita perlu mengimbangkan antara kesihatan dan juga keperluan ekonomi.

“Kita tidak boleh terus menerus terlalu patuh dengan satu pandangan. Mana-mana yang terbaik untuk masyarakat kita perlu dahulukan, apatah lagi kalau kita memiliki satu pilihan yang lebih cost effective yang mampu dilaksanakan untuk semua orang.

"Antara lain ialah keadaan mental. Ramai yang terkesan, keadaan mental mereka yang mungkin terganggu di sepanjang PKP ini.

“Jadi sedikit sebanyak dengan PKPP ini, membolehkan kita untuk ’ventilate’ sedikit kita punya emosi dan juga psikologi dengan ada kelonggaran untuk kita keluar rumah,” jelas Dr Malina lagi.

BACA: PKPP: Jangan leka atau ambil mudah SOP

BACA: Tujuh strategi dalam fasa PKPP untuk 'perangi' COVID-19

Pada masa sama, beliau menyifatkan komitmen rakyat Malaysia dalam menjalani normal baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan PKP yang berlangsung selama tiga bulan dilihat sangat memberangsangkan.

Katanya, pihak kerajaan telah mengambil satu keputusan yang wajar iaitu dengan melaksanakan PKPP bermula 10 Jun ini.

“Pada pendapat saya, komitmen rakyat secara majoriti adalah sangat baik sekali dan dalam tempoh tiga bulan ini, kebanyakan mereka telah melaksanakan normal-normal baharu,” jelas Dr Malina ketika ditemu bual Astro AWANI pada Ahad.

“Saya bagi contoh, sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, ramai yang menghubungi saya secara peribadi bagi bertanya pandangan saya kalau mereka hendak menziarah walaupun ibu bapa mereka berada dalam satu negeri yang sama dan berlainan daerah.

“Saya menjawab, seeloknya tidak perlulah. Kalau kita sayangkan ibu bapa, tidak payahlah balik dulu mungkin kita perlu tunggu, dalam tempoh yang sesuai.

“Dan kebanyakan mereka mematuhi saranan tersebut,” tambahnya lagi.