Semua rakyat di negara ini diseru agar tidak leka dan mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pakar dan Profesor Epidemiologi dan Presiden Konsortium Akademik Kesihatan Awam Asia-Pasifik Kuala Lumpur, Datuk Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, aspek tersebut amat penting untuk dipatuhi semua pihak bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan.

Beliau berkata, pengamalan normal baharu perlu diamalkan dalam tempoh lebih setahun memandangkan masih tidak ada vaksin untuk penyakit terbabit.

"Ini bukan soal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP Bersyarat) diteruskan atau tidak tetapi apa yang lebih penting adalah agar kita semua tidak leka dan memandang remeh akan SOP yang ditetapkan serta normal baharu untuk kita lakukan dalam usaha mengelakkan jangkitan wabak ini.

BACA: Tujuh strategi dalam fasa PKPP untuk 'perangi' COVID-19

BACA: PKPP: Jangan terlalu gembira, PKPD dikuat kuasa jika kes meningkat mendadak

"Sekiranya ada diantara kita menganggap SOP dan normal baharu itu sebagai menyusahkan, saya percaya ia boleh menyebabkan penularan jangkitan yang tinggi dalam tempoh tertentu," katanya ketika ditemubual menerusi Buletin AWANI Khas di sini pada Ahad.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPP akan dilaksanakan bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan dengan memberi lebih banyak kelonggaran termasuk perjalanan rentas negeri.

Mengulas lanjut, Awang Bulgiba yang juga pakar Epidemiologi meminta agar Kementerian Kesihatan (KKM) untuk terus menggunakan sistem e-COVID bagi mengesan jangkitan khususnya dalam melakukan diagnosa 'severe acute respiratory infection' (SARI) dan 'influenza-like illness (ILI).

"Sistem ini digunakan untuk mengesan kontak rapat jangkitan dan dalam PKPP ini, kaedah sama boleh dilakukan bagi mengesan kontak yang bersifat kawasan atau daerah jika berlaku jangkitan mendadak di sesebuah kawasan.

"Saya rasa sistem ini boleh dilakukan dalam masa terdekat dan analisa setiap hari dapat dijalankan bagi mengesan kes di setiap daerah dengan lebih cepat memandangkan ianya terus dihantar ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) secara langsung," jelasnya.