MALAYSIA
PM dan isteri tidak patut lengah saman malu - Khairuddin
Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Datin Seri Rosmah Mansor perlu segera membuat laporan polis seterusnya mengemuka saman malu kepada mana-mana pihak yang menuduh mereka terlibat dalam isu dana yang dimasukkan ke akaun peribadi mereka.
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, penangguhan laporan polis dan saman malu hanya memburukkan situasi selain menambah pelbagai spekulasi serta tanda tanya masyarakat.
"Saya sarankan kepada Najib dan Rosmah untuk segera buat laporan polis bagi membersihkan nama mereka terhadap tuduhan dana dimasukkan ke dalam akaun-akaun peribadi mereka.
"Ia memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka berani kerana benar. Jangan lengahkan lagi kerana pelbagai lapisan rakyat sedang membuat berbagai andaian mengenai kebenaran tuduhan-tuduhan tersebut.
"Setakat menafikan itu tidak benar dan fitnah kurang meyakinkan rakyat. Rakyat tidak boleh menerima sebarang penafian secara umum tanpa bertindak membuat laporan polis bagi mensahihkan penafian tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pendapat terbaru Khairuddin itu turut dimuat naik di dalam catatan di laman Facebooknya.Sebelum ini, Rosmah menyeru semua pihak supaya tidak membuat fitnah antara satu sama lain pada bulan Ramadan ini.
Pihak berkuasa Malaysia minggu lalu menerusi Pasukan Petugas Khas membekukan enam akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan pemindahan wang tersebut.
Bagaimanapun, Pasukan Petugas Khas berkenaan tidak mendedahkan pemilik akaun terlibat.
Dalam pada itu kata Khairuddin, surat guaman yang dihantar Najib kepada The Wall Street Journal (WSJ) adalah sia-sia dan tidak relevan sama sekali.
"Apa lagi hendak minta penjelasan? Tuduhan WSJ itu sudah jelas. Seharusnya Najib beri saman malu sahaja.
"Surat peguam itu seolah-olah mahu mengelirukan rakyat. Ia bukan saman tetapi sekadar minta penjelasan," ujarnya.
Terdahulu, Khairuddin mendesak Najib menyaman WSJ dan Sarawak Report kerana menerbitkan laporan yang mendakwanya menerima berbilion ringgit yang disalurkan ke dalam beberapa akaun peribadinya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami