Polis Kedah berjaya menumpaskan kumpulan ‘Geng Azhar’ yang kembali bergiat aktif melakukan jenayah curi kenderaan di sekitar Kulim dengan tertangkapnya tiga ahli kumpulan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, penahanan itu membawa kepada penemuan sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang telah dilerai dan disembunyikan di dalam semak di Kampung Baru, Kuala Ketil.

Hasil pemeriksaan mendapati kereta itu telah di laporkan hilang di Padang Serai sebelum ini.

“Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 10 pagi di kawasan Merbau Pulas, Kuala Ketil dan Bukit Selambau berjaya menahan tiga suspek yang berusia antara 17 hingga 29 tahun.

“Susulan tangkapan itu, polis kemudiannya ke lokasi kedua, di Kampung Asam Jawa, Baling, Kedah dan menemui sebuah lagi kereta jenis Proton Perdana yang turut disembunyikan di kawasan semak.

“Suspek mengaku telah mencuri kereta tersebut di Lunas untuk dijual komponen di pasaran gelap,” Abdullah berkata.

Tambah beliau ini merupakan penahanan kali kedua selepas pihaknya menahan empat orang ahli kumpulan itu sebelum ini dan menjadikan kesemuanya tujuh orang yang ditahan setakat ini.

Kesemua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Polis kini giat memburu empat lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas.