Polis memaklumkan bahawa sehingga ini tiada anggota keluarga atau waris Kim Jong-nam yang tiba di Malaysia bagi membuat pengecaman mayat di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur, di sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pada masa yang sama polis juga belum menerima apa-apa sampel DNA daripada ahli keluarga berhubung kes pembunuhan itu yang turut menarik minat media antarabangsa.

"Kami masih menunggu; manakala laporan media mendakwa waris telah tiba di Malaysia untuk berbuat demikian adalah tidak betul," katanya kepada Bernama melalui WhatApps.

BACA: Pembunuhan Jong Nam: Polis sah sampel diambil dari kondominium Verve Suites

BACA:
Kronologi pembunuhan Kim Jong Nam: Apa yang diketahui setakat ini

Setelah hampir dua minggu berlalu kes pembunuhan Jong-nam, kumpulan media tempatan dan luar negara masih menunggu secara 24 jam di IPFN bagi mendapatkan maklumat terkini termasuk mengintai peluang merakam kedatangan ahli keluarga Jong-nam.

Media asing sebelum ini melaporkan waris Jong-nam telah tiba di Malaysia, namun sehingga kini tiada kelibat mereka kelihatan.

Sementara itu, sehingga 7.30 malam ini kira-kira 30 wartawan dan jurugambar masih berada di IPFN bagi mendapatkan perkembangan terkini kes itu.

Bernama dimaklumkan bahawa polis telah membuka sebuah balai polis bergerak di IPFN bagi mengawal selia keadaan.

Bagaimanapun, media hanya dibenarkan berada di depan IPFN dan kawasan berkenaan dikawal rapi oleh pihak polis dan pengawal keselamatan.

Pada 13 Feb, Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, dilaporkan berada di KLIA2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita dikatakan menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

-- BERNAMA