Kronologi pembunuhan Kim Jong Nam: Apa yang diketahui setakat ini

Kronologi pembunuhan Kim Jong Nam: Apa yang diketahui setakat ini
Kim Jong Nam dilaporkan dibunuh menggunakan racun di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada 13 Februari lalu. - Foto Fail
KUALA LUMPUR: Masih satu misteri!

Pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong Un semakin mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kini berdepan cabaran tatkala sukar mendapatkan kerjasama dengan Kedutaan Korea Utara di Malaysia apabila ia mendakwa kerajaan Malaysia menyembunyikan sesuatu tentang pembunuhan tersebut.

Berikut merupakan kronologi pembunuhan Kim Jong Nam yang dibunuh di klia2 pada 13 Februari lalu. 


  • 24 Februari

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan 'Agen Saraf VX' digunakan dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam.

Justeru, polis kini menyiasat bagaimana bahan kimia yang telah diharamkan itu berjaya dibawa masuk ke Malaysia atau ia dihasilkan di dalam negara.


Salah seorang suspek dalam kes pembunuhan Jong Nam dipercayai mengalami kesan sampingan daripada bahan kimia 'Agen Saraf VX'.

Polis turut bekerjasama dengan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom untuk memeriksa semua lokasi yang pernah dilalui suspek jika terdapat sisa radioaktif. 

"Seluruh dunia tahu bahawa siasatan yang dijalankan adalah adil dan telus. Malah Duta Besar (Kang Chol) telah dimaklumkan tentang proses yang terlibat dalam siasatan, tetapi nampaknya dia terus khayal dan membuat penipuan serta tuduhan terhadap kerajaan Malaysia" - Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman


Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Luar membentangkan kepada Kabinet penilaiannya mengenai hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

  • 23 Februari

Kedutaan Korea Utara mendakwa PDRM menyembunyikan sesuatu dari hasil siasatan pembunuhan Kim Jong Nam selain menegaskan tidak menerima sebarang permohonan dari polis untuk bekerjasama dalam siasatan.

Kang Chol ditemui media di perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas permohonannya menuntut jasad warganya gagal - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membidas kenyataan itu dan mendakwa permohonan PDRM dibuat berdasarkan protokol dan telah dikemukakan kepada Wisma Putra.

Malah, katanya kekebalan diplomatik bukanlah alasan kepada Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Hyon Kwang Song, 44, untuk tidak tampil membantu siasatan.

Waran tangkap akan dikeluarkan kepada pekerja syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk Il, 37 jika gagal menyerah diri kepada polis.


Dalam pada itu, saudara terdekat Kim Jong Nam dijangka tiba di negara ini dalam tempoh satu atau dua hari lagi, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol biadab dan melangkaui batasan diplomatik.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menasihati rakyat Malaysia supaya tidak ke Korea Utara - Foto Fail
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menasihati rakyat Malaysia agar tidak ke Korea Utara buat masa ini berikutan kes pembunuhan Jong Nam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berharap keputusan analisis bedah siasat dikeluarkan pada minggu hadapan di mana pihaknya masih menunggu waris terdekat mangsa untuk mengenal pasti mayat dan menjalani ujian DNA untuk pengesahan.
  • 22 Februari
Tan Sri Khalid Abu Bakar menyenaraikan dua lagi suspek terbaharu pembunuhan Jong Nam.

Hyon Kwang Song, 44, merupakan Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara di Malaysia sementara Kim Uk Il, 37 merupakan pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Air Koryo.


Katanya, dua suspek warga Vietnam dan Indonesia yang menyapu cecair kimia ke wajah Kim Jong Nam telah berlatih melakukan pembunuhan itu. Suspek Indonesia itu dikenali sebagai Siti Aishah, 25, yang sudah menetap di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu.

Malah, mereka juga mengetahui cecair kimia itu berbahaya kerana mereka membasuh tangan sebaik menyapu cecair berkenaan ke muka Jong Nam.

Duta Besar Malaysia di Pyongyang, Mohamad Nizan Mohamad yang dipanggil pulang ke negara ini untuk proses perundingan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 9:37 pagi.


Sementara itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjalankan siasatan dalaman terperinci susulan penyebaran rakaman kamera litar tertutup (cctv) dan akan ambil tindakan tegas terhadap kakitangannya yang menyebarkan video tersebut.

  • 21 Februari
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, adalah sesuatu yang biadab dari aspek diplomatik.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia bukan 'kuda tunggangan' dan tidak akan tunduk kepada mana-mana negara dalam mempertahankan kedaulatan negara.


BACA: Pembunuhan Jong Nam: Takut dibunuh punca Duta Korea Utara terlebih lantang?

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (dua dari kiri) mengadakan sidang media tergempar perkembangan forensik pembunuhan Kim Jong Nam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan tiada kesan suntikan atau kecederaan pada si mati sekaligus menafikan kenyataan kononnya Jong Nam mati akibat serangan jantung.

Di Seoul, Kementerian Perpaduan Korea Selatan menolak dakwaan Korea Utara bahawa Kuala Lumpur menjalin pakatan sulit dengan Seoul dalam siasatan tersebut.

Dalam pada itu, keluarga Siti Aisyah, suspek wanita dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Jong Nam, hairan bagaimana anak bongsu mereka boleh berada di Malaysia.

BACA: Kelayakan Piala Asia: Ubah venue jika ancam keselamatan - Khairy

  • 20 Februari
Hari ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) menjadi tumpuan media apabila tercetus khabar kedatangan anak Kim Jong Nam ke Malaysia.


Empat warga Korea Utara yang menyaksikan keseluruhan insiden pembunuhan itu berlepas dengan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta pada 9.50 pagi, satu jam selepas pembunuhan itu.

Keempat suspek tersebut telah keluar dari Malaysia pada hari pembunuhan 13 Februari, satu jam selepas pembunuhan berlaku. - Foto PDRM
BACA: Malaysia terikat dengan undang-undang dalam siasatan pembunuhan Jong Nam - PM Najib

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan tuduhan yang dibuat Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol adalah satu pembohongan.

Dalam perkembangan berkaitan, polis kini mengkaji tindakan terhadap penyebaran rakaman kamera litar tertutup (cctv) yang menunjukkan insiden pembunuhan Kim Jong Nam.

Sebuah stesen tv Jepun merupakan media pertama yang menayangkan salinan rakaman video cctv yang menunjukkan bagaimana pembunuhan Kim Jong Nam berlaku. - Foto Fail
Sementara itu, Korea Utara mendesak untuk menyertai siasatan bersama berhubung kematian Jong Nam lantaran mahu mendapatkan penjelasan lebih baik tentang pembunuhan itu.


Malaysia menerusi Kementerian Luar memanggil pulang Duta Besarnya di Pyongyang, Mohamad Nizan Mohamad untuk proses perundingan dan mengarahkan Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol untuk memberi penjelasan mengenai kenyataannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam meminta mana-mana supaya tidak memberi sebarang tekanan kepada polis dan unit forensik dalam menjalankan siasatan.

Kenderaan membawa Duta Korea Utara ke Malaysia Kang Chol dilihat memasuki Wisma Putra kira-kira jam 9.55 pagi, 20 Februari. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
  • 19 Februari
Polis menyenaraikan tujuh suspek utama pembunuhan Kim Jong Nam di mana empat daripadanya telah meninggalkan Malaysia pada hari kejadian.

Identiti dua lagi suspek belum dikenal pasti, namun kesemua mereka didapati berada di KLIA2 ketika kejadian berlaku menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV).

Suspek didapati berada di KLIA2 pada hari dan waktu yang sama pembunuhan dilakukan - Foto PDRM
BACA: Bekas perisik Korea Utara sifatkan suspek pembunuhan Kim Jong Nam hanya amatur

Sebuah rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan pembunuhan Jong Nam di aras pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) tersebar di media sosial.

Stesen televisyen Jepun, Fuji TV, didakwa merupakan yang pertama menayangkan video tersebut.


  • 18 Februari
Korea Utara tidak mahu menerima apa jua keputusan bedah siasat yang dilakukan terhadap jasad Jong Nam kerana mendakwa ia dilakukan tanpa kebenaran mereka dan tanpa disaksikan wakil mereka.

Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol (kanan) tidak mahu menerima sebarang keputusan forensik yang dilakukan ke atas mayat Kim Jong Nam dan meminta Malaysia menyerahkan mayat warganya itu. Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Sekaligus mereka mempersoalkan tindakan pihak berkuasa Malaysia yang masih tidak mahu menyerahkan jasad Kim Jong Nam walaupun mangsa disahkan rakyat mereka.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan suspek ketiga pembunuhan Kim Jong Nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kiri) menolak permohonan Korea Utara yang ingin bersama PDRM dalam siasatan pembunuhan Kim Jong Nam - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Suspek warganegara Republik Demokratik Rakyat Korea dikenal pasti sebagai Ri Jong Chol, 47 tahun ditahan di 9.50 malam, 17 Februari 2017 di Selangor.
  • 17 Februari
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai keterlibatan ejen khas luar negara dalam kes kematian Kim Jong Nam.

Media Indonesia melaporkan, ibu suspek utama yang ditahan, Siti Aishah, Benah, 50, akui anaknya mampu berbahasa Inggeris dan Korea walaupun tidak pernah mengikuti kelas bahasa tersebut.

Seorang daripada dua suspek wanita yang ditahan reman berkait pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Jong Nam dipercayai dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi tujuan soal siasat.

Salah seorang suspek yang dipercayai teman lelaki Siti Aishah, Muhammad Farid Jallaludin dibebaskan dengan ikat jamin polis - Foto PDRM
Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini belum mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Malaysia untuk berjumpa dengan wanita pemegang pasport negara itu, Siti Aishah.

  • 16 Februari
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan lelaki warga Korea Utara yang dipercayai dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) Isnin lalu adalah Jong Nam, abang kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un.

Dalam pada itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan identiti wanita kedua yang ditahan adalah Siti Aishah yang dilahirkan di Serang, Indonesia, pada 11 Feb, 1992.

Suspek utama pembunuhan, dua wanita warga asing direman tujuh hari bermula bagi membantu siasatan kes.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalib dan prosiding dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.


Selain itu, Jabatan Kimia Malaysia juga menerima beberapa sampel daripada polis yang menyiasat kes pembunuhan Kim Jong Nam.

Sementara itu, di Kedutaan Korea Utara, dua pegawai polis Malaysia mengadakan perjumpaan dengan Duta Kang Chol.

Mereka masuk ke perkarangan kedutaan itu pada kira-kira 12.50 tengah hari dan beredar kira-kira 15 minit kemudian. 

  • 15 Februari
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan identiti mangsa sebagai Kim Chol, 46 tahun berdasarkan pasport bernombor 836410070 dan dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun 1970.

Kurang 48 jam Kim Jong Nam dibunuh, Khalid mengesahkan penahanan suspek pertama yang dipercayai pembunuh Kim Jong Nam, wanita warga negara Vietnam, Doan Thi Huong, 29.


Mayat di bawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi proses bedah siasat. 

Sumber pentadbiran Amerika Syarikat (AS) memberitahu Reuters bahawa mereka percaya Jong Nam telah dibunuh menggunakan racun oleh ejen Korea Utara.

Sementara itu, Pemangku Perdana Menteri Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn berkata pembunuhan Jong Nam menunjukkan kekejaman dan krisis kemanusiaan rejim Kim Jong Un

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali mengesahkan Kim Jong Nam dibunuh sebelum melepasi kaunter pemeriksaan daftar keluar. 

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali mengesahkan proses bedah siasat Kim Jong Nam selesai 7.30 malam. 

Dalam perkembangan sama, portal media antarabangsa, Reuters yang memetik sumber pegawai kanan kerajaan Malaysia melaporkan, Korea Utara membantah bedah siasat terhadap mayat Kim Jong Nam sekaligus menuntut mayat berkenaan diserahkan kepada mereka segera.

  • 14 FEBRUARI 2017

Beberapa agensi dan media Korea Selatan melaporkan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dibunuh pada pagi Isnin, 13 Februari 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2).

Jong Nam dilaporkan berada di KLIA pada 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau, China, yang dijadualkan pada 9 pagi, 13 Februari 2017.

Kim Jong Nam (kiri) dan Kim Jong Un (kanan) adalah anak kepada bekas pemimpin, Kim Jong Il yang meninggal dunia pada 2011, namun berlainan ibu. - Foto Fail
Jong Nam sememangnya diketahui menghabiskan banyak masanya di luar negara dan sering mengeluarkan kenyataan mengecam pemerintahan dinasti di negara itu.

Infografik: Siapa Kim Jong-Nam?

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan seorang lelaki warga Korea Utara meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari klia2 ke Hospital Putrajaya.

Pihak media dilarang memasuki perkarangan Unit Forensik Hospital Putrajaya di mana mayat Kim Jong Nam ditempatkan sementara sebelum di bawa ke Hospital Kuala Lumpur. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR